Perodua Kelisa dan pengembaraan keliling dunia yang membawa erti tersendiri kepada Along dan anaknya

Perodua Kelisa dan pengembaraan keliling dunia yang membawa erti tersendiri kepada Along dan anaknya

Berbeza dengan pergi melancong, keluar mengembara memang selalu digerakkan oleh hal-hal peribadi yang memberi erti tersendiri dan sederhana yang kadang-kadang tak masuk akal. Ia kerap menjadi satu sisi spiritual dan melibatkan pergelutan keyakinan yang cuba diselami dan difahami.

Dengan kepekaan dan kesedaran seperti itu, kesanggupan jadi luar biasa: dan apa yang dapat dilihat dan diperhatikan di sepanjang perjalanan juga lain — walaupun lokasi dan destinasi geografinya sama sahaja dengan ramai lagi orang lain yang melakukan perkara sama.

Agaknya begitulah yang dialami oleh Nursulhi Rahim (Along), 45 dan anaknya, Muhammad Aidil, 17 yang baru sahaja kembali dari bahagian kedua siri jelajah mereka mengelilingi dunia hanya dengan menggunakan sebuah Perodua Kelisa tahun 2004. Menetap di Pulau Sebang, Melaka, pengembaraan mereka awalnya bermula sejak 4 November 2019, yang menjadi bahagian pertama siri jelajah berkenaan.

Ketika itu, dari Malaysia, mereka berdua merentas jalan darat melalui Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turki, Bulgaria, Romania, Hungary, Slovenia, Austria, Jerman, Belanda, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, Perancis, Switzerland, Itali, Greece dan kembali ke Turki.

Kelisa yang diberi nama jolokan “Wheely” itu juga kemudiannya terpaksa ditinggalkan di Turki — dunia ketika itu sedang berdepan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan mula dikenakan. Mereka sempat pulang ke Malaysia seminggu sebelum PKP dimulakan pada 18 Mac 2020.

Menurut Along, yang terlibat dalam perniagaan ubah suai rumah dan juga pendawaian elektrikal, sebab beliau dan anaknya memulakan perjalanan ini sederhana sahaja. “Pertama, tiba-tiba rasa gila untuk mengembara itu datang, dan menyebabkan saya tak boleh duduk tenang selagi tak melakukannya,” ujar Along. Dan sebab kedua inilah yang menjadi pendorong yang lebih bermakna: dia memang ingin membawa anaknya Aidil sekali untuk melihat dunia.

Perodua Kelisa dan pengembaraan keliling dunia yang membawa erti tersendiri kepada Along dan anaknya

“Dari aspek pencapaian akademiknya dia sedikit kurang, jadi saya nak bawa dia tengok dunia dan membuka pandangan dan harapan baru dalam dirinya bahawa dunia dan kehidupan kita sebenarnya adalah lebih luas daripada sekadar pencapaian akademik semata,” tambahnya.

Along ingin membuka mata anaknya supaya menyedari hal berkenaan, bahawa ada banyak peluang dan kemahiran lain yang boleh diraih dan memberi makna kepada hidup ini. “Saya nak tunjukkan, tanpa kelebihan akademik, kita jangan menyerah kalah. Kita tak semestinya gagal. Jadi, dengan cara mengembara, saya harap itu dapat membuka mindanya dengan lebih luas lagi,” ujar Along.

Pendorong lain yang menggerakkan pengembaraan ini adalah peluang Along yang sempat menjelajah — dengan Vespa — bersama bapa dan adik-adiknya pada tahun 2013 menuju Mekah, walaupun ketika itu mereka tidak dapat memasuki kota suci berkenaan dan hanya dapat tiba di Dubai sahaja. Mengapa hanya dengan Perodua Kelisa? “Saya nak buktikan, orang biasa yang berasal dari kampung seperti kami juga boleh merentas dan melihat dunia dengan apa yang ada, tanpa perlu kereta besar atau mewah,” tambah Along.

Perodua Kelisa dan pengembaraan keliling dunia yang membawa erti tersendiri kepada Along dan anaknya

Dengan tempoh perjalanan dan jarak kawasan yang ditempuhi sepanjang perjalanan bahagian pertama itu tentulah ada banyak pengalaman dan masalah yang tidak dapat dielakkan. Tentu sahaja, seperti niat dan hasrat yang memulakan pengembaraan yang bersifat peribadi ini, kebanyakan pengalaman dan kejadian itu lebih enak disimpan sendiri. Tetapi ada juga yang ingin dikongsikan sebagai ilham untuk diceritakan.

Misalnya, ketika berdepan dengan ribut salji di Julier Pass, Switzerland, mereka terkandas selama enam jam menunggu sehingga penyelenggaran laluan berkenaan membuka semula jalan. Pernah juga di Sweden, permukaan jalan yang licin menyebabkan Kelisa mereka tersadai selama 12 jam di dalam hutan — dan terpaksa tidur dalam kereta dengan enjin dihidupkan sepanjang tempoh berkenaan.

Itu belum lagi ketiadaan pemanas dalam kereta mereka untuk jangka masa yang lama, sebelum ada orang membantu dan membuat modifikasi untuk pemanas tersebut. Mereka juga sempat melihat fenomena alam Aurora, dalam keadaan yang begitu dingin, -35 darjah celcius di kawasan yang gelap likat ketika dalam perjalanan.

Perodua Kelisa dan pengembaraan keliling dunia yang membawa erti tersendiri kepada Along dan anaknya

Kemudian, pada 15 September 2022, Along menyambung semula perjalanannya untuk pergi mengambil semula kereta mereka yang ditinggalkan selama tiga tahun di rumah seorang teman di Bayramic, Canakkale, Turki untuk dibawa pulang. Dan, ini disambut dengan masalah kotak gear yang menyebabkan mereka terkandas di situ. Bagaimana Along menghadapi masalah tersebut?

Beliau dan anaknya tidak ada banyak pengetahuan tentang bagaimana untuk membaiki kenderaan. Jadi, antara apa yang mereka lakukan adalah membuat panggilan video kepada rakan mekanik dari Malaysia dan mengikut arahan satu persatu untuk mencuba baik pulih sendiri. Orang-orang di sana juga ada yang membantu sama, sehinggalah masalah dapat diatasi.

Dari Turki, mereka bergerak ke Iran: sempat mengalami banyak gangguan talian telefon disebabkan sekatan kerajaan Iran ketika berdepan dengan protes warganya di sana. Dari situ, mereka terus ke sempadan Pakistan — pengalaman unik di sini adalah mereka diiringi oleh polis, tentera selama seminggu sehingga tiba di Islamabad. Dari sana, mereka ingin ke sempadan China dengan melalui Korakam Highway, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Perodua Kelisa dan pengembaraan keliling dunia yang membawa erti tersendiri kepada Along dan anaknya

50 kilometer sebelum tiba di sempadan Khunjerab Past, kereta mereka diberhentikan oleh polis kerana keadaan cuaca dan jalan merbahaya. Rancangan kemudiannya diubah, dan mereka menghala perjalanan ke Lahore, Pakistan di mana Kelisa mereka terpaksa ditinggalkan sekali lagi. Along dan anaknya kemudian mengambil penerbangan pulang ke Malaysia dan tiba di sini sehari sebelum hari mengundi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari. Along tetap berhasrat untuk membawa pulang Kelisa yang digunakan itu ke sini, kelak.

Siapa sangka hanya dengan Kelisa kecil, mereka berhasil menjelajah keliling dunia. Tanpa penaja, tanpa publisiti dan semuanya dilakukan untuk diri sendiri tanpa ingin membuktikan apa-apa. Semoga lebih ramai warga Malaysia melakukan perjalanan yang mengilhamkan seperti ini nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required