Menteri Pengangkutan Anthony Loke naik LRT petang semalam, akan bertemu Prasarana untuk tambahbaik

Menteri Pengangkutan Anthony Loke naik LRT petang semalam, akan bertemu Prasarana untuk tambahbaik

Anthony Loke, yang kembali memegang tugas sebagai Menteri Pengangkutan, sempat menaiki perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya pada petang semalam. Namun ini bukanlah sesi turun padang biasa-biasa, tetapi dah macam pemeriksaan mengejut atau spotcheck. Bukan setakat naik LRT pada waktu puncak, bahkan tindakan Loke ini tidak dimaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana. Maka tiadalah rombongan rasmi mengiringi VIP.

Ahli Parlimen Seremban ini yang memakai topi dan pelitup muka berwarna hitam kelihatan berdiri di dalam tren yang sesak. Bahkan beliau juga sempat meninjau keadaan sekitar stesen LRT termasuk melihat sendiri tangga bergerak atau escalator yang tidak berfungsi, turut mencuba lif dan mendapati bumbung di stesen MRT Muzium Negara (yang dihubungkan dengan perkhidmatan LRT di KL Sentral) yang bocor.

Menerusi pengkongsiannya di Facebook, beliau berkata, “Petang tadi (semalam), saya meluangkan masa selama dua jam untuk meninjau keadaan sebenar perkhidmatan LRT KJ line semasa peak-hour di antara pukul 5 hingga 7 petang. Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang.

“Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari.”

Beliau yang baru memulakan tugasnya hari ini turut berkata, “Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penumpang LRT. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan halatuju dan cara untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam kita.”

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya pernah mengalami masalah teknikal dan ‘kritikal’ pada bulan lalu hingga memaksa operasinya dihentikan hampir seminggu (9-14 November). Penggantungan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park ketika itu terpaksa dilakukan selepas operasi tren berkenaan mengalami gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) selama beberapa kali, hingga menjejaskan kestabilan perkhidmatannya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required