GWM Ora Good Cat telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada akhir bulan lalu, dan ditawarkan dengan dua varian. 400 Pro dijual pada harga RM139,800 dan 500 Ultra pula berharga RM169,800. Ia meliputi waranti lima-tahun/150,000 km dengan waranti pek bateri lapan-tahun/180,000 km.

Untuk yang membeli Ora Good Cat yang dijana elektrik sepenuhnya ini, Great Wall Motors (GWM) telah mengumumkan kumpulan pertama EV ini telah pun tiba di Malaysia. Pengumuman ini disusuli dengan perkongsian imej yang menunjukkan EV comel ini sedia untuk dihantar kepada pelanggan.

Kedua-dua varian 400 Pro dan 500 Ultra menampilkan motor elektrik tunggal dengan 143 PS dan tork 210 Nm yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Untuk pecutan 0-100 km/j, kedua-duanya mengambil masa sekitar 7.9 saat, dengan kelajuan tertinggi cecah 152 km/j.

400 Pro dilengkapi oleh bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang mampu memberikan jarak perjalanan 400 km, manakala varian 500 Ultra pula menggunakan bateri dengan kapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km.

Ciri kelengkapan standard yang ditampilkan untuk luaran dan dalaman Ora Good Cat termasuklah bumbung matahari panoramik, skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kluster instrumen digital sepenuhnya tujuh-inci, dan sistem bantuan pemandu komprehensif merangkumi kawalan kelajuan adaptif, AEB, amaran pelanggaran hadapan dan bantuan pemusatan lorong. Bagi 500 Ultra, ia juga diberikan fungsi mengurut untuk tempat duduk pemandu.

Dengan setiap pembelian Ora Good Cat, pelanggan bakal menerima pengecas mudah alih secara percuma dan pengecas rumah, serta lima kali penyelenggaran percuma yang merupakan sebahagian daripada pakej 4-in-1 Purr-fect.