Bermula Januari 2023, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksanakan peraturan baharu bagi penjualan bahan bakar tanpa subsidi melibatkan RON95 dan diesel bagi kenderaan asing. Projek rintis yang dinamakan sebagai ‘Ekonomi Sempadan – Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi akan dimulakan di Perlis, ujar Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof, seperti dilaporkan Bernama.

Menurut beliau lagi, projek rintis ini dilaksanakan bagi membenarkan pembelian bahan bakar tanpa subsidi itu oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing yang masuk melalui pintu sempadan negeri tersebut.

“Kajian impak akan dilaksanakan selama tiga bulan sebelum sebarang keputusan dibuat kepada negeri lain yang bersempadanan dengan negara jiran. Untuk makluman telah ada pengusaha stesen minyak komersial yang telah menjual bahan bakar tanpa subsidi itu di kawasan Padang Besar dan Wang Kelian.

“Kementerian kini sedang mengadakan libat urus dengan syarikat minyak lain untuk turut menawarkan bahan bakar tanpa subsidi itu. Langkah ini diambil bagi mengekang isu ketirisan yang dihadapi dan pada masa sama ia tidak memberi kesan negatif kepada kenderaan asing yang mengisi bahan bakar berkenaan,” katanya.

Beliau turut berkata harga bahan bakar tanpa subsidi bagi RON95 dan diesel masih lagi murah berbanding yang dijual di negara jiran.

Tambahnya lagi, tindakan ini diambil kerana terdapat kes sebelum ini dikesan kenderaan asing mengisi diesel bersubsidi dalam kuantiti yang dihadkan tetapi di beberapa stesen minyak berasingan secara bergiliran.

“Arahan yang dikeluarkan oleh KPDN pada 17 Jun lepas mengenai ketetapan dan larangan penjualan minyak RON95 dan larangan menjual minyak diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing manakala RON97 boleh dijual tanpa had.

“Masalah ketirisan bahan bakar itu (RON95 dan diesel bersubsidi) di negeri-negeri berhampiran sempadan dipandang serius KPDN kerana subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat negara ini turut dinikmati warganegara lain,” katanya.

Larangan membeli petrol RON 95 untuk kenderaan berdaftar asing telah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010, walau pun terdapat sedikit pelepasan untuk pembelian diesel. Di mana kenderaan berdaftar Singapura dibenarkan membeli sehingga 20 liter diesel sehari di stesen minyak Malaysia dalam jarak 25 km dari pintu sempadan Malaysia-Singapura; keputusan ini berkuat kuasa pada 1 Oktober 2020.

Pada masa ini, harga petrol RON 95 ialah RM2.05 seliter, iaitu harga siling bagi bahan api tersebut seperti yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada Februari 2021. Had harga juga dikenakan kepada bahan api diesel bagi gred Euro 5 B10 dan B20, berharga RM2.15 seliter, dan diesel Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter. Manakala petrol RON 97 tanpa subsidi pula berharga RM3.35 seliter yang diumumkan untuk tempoh 22-28 Disember 2022.