Tesla Model 3 dengan rupa seperti wagon panjang dan tinggi ini digelar sebagai Tesla Hearse 3 – ya, seperti namanya, ini adalah sebuah kereta jenazah! Model istimewa ini bukanlah dihasilkan sendiri oleh Tesla, tetapi diubahsuai untuk kegunaan tersebut oleh pakar pembuat kereta jenazah dari Belanda iaitu Derks Uitvaartmobiliteit.
Derks menghasilkan Hearse 3 ini berasaskan Tesla Model 3 Standard Range Plus, dan ia dibina serta dijual untuk pasaran Eropah. Seperti yang anda boleh lihat, rupa Model 3 masih kekal dari bahagian muka hingga pintu hadapan, tetapi ia diberikan pengubahsuaian drastik bermula pada bahagian ‘jendul’ bumbung hingga bahagian belakang.
Bagi memuatkan keranda dengan gaya mewah, bahagian belakang Model 3 berkenaan telah dipotong dan dipanjangkan – menurut laporan Carscoops, panjang Hearse 3 adalah 5.56 meter, atau 866 mm lebih panjang dari Model 3 biasa. Bumbungnya juga telah ditinggikan dan tiada lagi pintu penumpang dan bahagian but belakang bagi digantikan dengan pintu tailgate.
Pada bahagian dalam, ruang untuk meletak keranda menerima pelapik bumbung yang dihiasi lampu LED seakan kerlipan bintang bersama langsir tingkap kawalan elektrik. Bahagian tersebut juga menerima pencahayaan LED pada dinding, rak bunga logam tahan karat serta ruang simpanan bawah lantai untuk menempatkan troli.
Ia masih menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Model 3 Standard Range Plus, menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 306 PS memacu roda belakang, bersama bateri 53 kWj yang memberikan jarak gerak 375 km dengan satu cas penuh.
Derks tidak menyatakan harga untuk sebuah Hearse 3 ini, dan pelanggan boleh sahaja menempah Hearse 3 mereka berasaskan model-model Tesla Model 3 dengan dua motor elektrik yang lebih berkuasa. Derks bukan sahaja menghasilkan kereta jenazah dari Tesla, malah turut menampilkan dari pelbagai model Mercedes-Benz dan Cadillac.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.