Setelah dilancarkan buat kali pertama untuk pasaran Malaysia pada November tahun lepas, Honda RS-X kini disegarkan kembali dengan penawaran warna baru yang terdiri daripada Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue, dijual pada harga RM9,698 tidak termasuk insurans. Satu lagi versi, iaitu Trico Edition dijual pada harga RM9,748.

Bahagian lain motosikal ini tidak diubah, termasuk enjin, yang menggunakan unit suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin ini hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.

Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston (ABS diberikan standard), sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah. Model ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

Selain warna biasa, Boon Siew Honda juga sebelum ini pernah melancarkan RS-X dengan versi Repsol Edition, yang menggunakan warna gabungan putih, oren dan merah, pada harga RM9,948 April lalu, tetapi ia hanya dikeluarkan sebanyak 5,000 unit sahaja.