FIA bekukan penggunaan nombor perlumbaan #43 dalam WRC sebagai tanda hormat kepada Ken Block

FIA bekukan penggunaan nombor perlumbaan #43 dalam WRC sebagai tanda hormat kepada Ken Block

Persekutuan Automobil Dunia (FIA) bersetuju untuk menurunkan nombor perlumbaan #43 dari digunakan oleh mana-mana pelumba yang bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) bermula musim tahun ini. Langkah ini diambil bagi menghormati pemergian mendiang Ken Block yang baru sahaja meninggal dunia awal minggu ini.

“Memandangkan sumbangan besar rakan baik kita Ken Block kepada sukan permotoran dan hakikat bahawa dia dipandang tinggi oleh orang di seluruh dunia, adalah wajar #43 miliknya akan ditarik balik daripada digunakan semasa musim WRC 2023,” kata presiden FIA Mohammed Ben Sulayem.

“Walaupun ia adalah tindakan yang kecil, kami berharap ia adalah satu yang akan memberikan sedikit keselesaan kepada keluarga dan rakan-rakannya buat masa sekarang. Ken adalah legenda sejati dan ingatan tentang lagenda sebenar ini akan kekal bersama kita selama-lamanya,” tambah Mohammed lagi.

Ken Block dikenali menerusi siri video Gymkhana yang mula disiarkan di Youtube pada tahun 2008, dan telah pun menggunakan nombor #43 berkenaan sejak awal kariernya sebagai pemandu rali. Walaupun hanya menyertai 25 rali dalam WRC dan hanya mengumpul 18 mata dalam kariernya, Block menerusi siri video Gymkhana tersebut telah meluaskan lagi minat masyarakat Amerika Syarikat dan antarabangsa dalam disiplin rali.

FIA bekukan penggunaan nombor perlumbaan #43 dalam WRC sebagai tanda hormat kepada Ken Block

“Impak yang Ken berikan ada pada rali dalam membawa sukan ini kepada penonton yang serba baharu tidak boleh dipandang remeh,” kata pengarah urusan WRC Promoter Jona Siebel.

“Untuk Ken, hubungan dengan peminat adalah yang paling penting, menjadikan beliau seorang tokoh yang disayangi dalam WRC. Sebagai sukan, menarik balik nombor 43 – nombor yang sinonim dengan Ken – adalah usaha kecil kami dalam menghormati keluarga, rakan dan peminat Ken,” tambahnya.

Ken Block disahkan meninggal dunia pada usia 55 tahun setelah terbabit dalam kemalangan ketika bermain dengan snowmobile di Utah, Amerika Syarikat pada 2 Januari lalu. Block bukan sahaja dikenali dalam sukan rali, malah beliau juga merupakan pengasas bersama jenama kasut papan luncur, DC Shoes yang ditubuhkan pada 1994.

Beliau menamatkan musim penuh Kejohanan Rali Nasional Amerika Syarikat ARA 2022 tahun lalu di kedudukan kedua dengan memandu Hyundai i20 WRC pasukan Hoonigan, tewas kepada juara Brandon Semenuk dari pasukan Subaru tetapi berjaya mengalahkan Travis Pastrana juga memandu Subaru yang berada di tempat ketiga.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required