BMW i Vision Dee diperkenal – EV boleh bertukar warna dengan HUD besar, petunjuk Neue Klasse baru

BMW i Vision Dee diperkenal – EV boleh bertukar warna dengan HUD besar, petunjuk Neue Klasse baru

Bulan lepas, akaun media sosial BMW menunjukkan seakan-akan ia telah diambil alih oleh orang lain dengan beberapa muatan misteri oleh ‘sesuatu’ yang dipanggil sebagai Dee. Rupanya, itu memang rancangan pemasaran BMW, dan akaun mereka bukannya diceroboh, sebaliknya adalah pemanas suasana bagi sebuah kereta konsep bernama Dee (Digital Emotional Experience) yang baru mereka perkenalkan di Las Vegas.

BMW i Vision Dee dihasilkan bertujuan untuk mempamerkan beberapa teknologi baru yang mungkin akan dibawa oleh BMW kepada kenderaan elektrik (EV) generasi terkini – Neue Klasse – bermula tahun 2025. Menurut BMW lagi, fokus utamanya adalah untuk memberikan pengalaman digital unik kedua-dua di luar dan dalam kereta.

Antara teknologi yang ditunjukkan melalui Dee adalah BMW Mixed Reality Slider, yang beroperasi bersama dengan unit head-up display serba çanggih. Ini adalah pusat kawalan utama Dee dan mempunyai satu panel sesentuh pada papan pemuka di mana pemandu boleh memilih berapa banyak fungsi digital yang mereka mahu lihat di depan.

BMW i Vision Dee diperkenal – EV boleh bertukar warna dengan HUD besar, petunjuk Neue Klasse baru

Lima mod yang disediakan bermula dari jenis analog hinggalah informasi berkaitan pemanduan, dan juga kandungan sistem komunikasi, paparan Augmented Reality (AR), serta Virtual Reality (VR). Akhir sekali, BMW memberitahu, pada kereta ini juga terdapat cermin yang boleh memadamkan pandangan sebenar sedikit demi sedikit dan mencipta dimensi pengalaman memandu yang baru bagi pengguna.

Mod VR pada Dee adalah satu evolusi bagi sistem yang pernah BMW tunjukkan pada M2 sebelum ini, tetapi pengguna tidak perlu memakai sebarang peralatan VR di kepala. Meskipun kita tidak akan melihat fungsi ini pada kenderaan produksi pada masa terdekat, BMW mengesahkan bahawa kenderaan Neue Klasse mereka nanti akan dipasang dengan variasi head-up display Dee, yang boleh memaparkan informasi pada keseluruhan cermin hadapan apabila diaktifkan.

Pada bahagian dalam kenderaan ini, tiada lagi sistem iDrive BMW dan pelbagai butang kawalan lain kerana kebanyakan fungsi diakses melalui pad sesentuh di stereng ataupun melalui bantuan kawalan suara.

Bahagian luar juga menggunakan rekaan minimalis yang seakan membawa kepada rasa retro dan masih mengekalkan tanda unik BMW seperti lengkuk Hofmeister pada panel dan tingkap belakang. Gril kidney di bahagian hadapan serta lampunya mempunyai permukaan rata dipanggil oleh BMW sebagai phygital (gabungan fizikal dan digital), dan ia boleh memaparkan ‘ekspresi muka’ yang berbeza.

Itu baru sedikit, dan Dee juga boleh memaparkan imej pemandu pada cermin sisi sebagai fungsi alu-aluan dan juga teknologi E Ink (ditunjukkan kali pertama melalui iX Flow tahun lepas) yang boleh menukar penampilan kenderaan menggunakan pelbagai kombinasi daripada 32 warna yang disediakan.

Dengan kenderaan EV Neue Klasse bakal diperkenalkan bermula tahun 2025, Dee ini mungkin menjadi petunjuk pertama bagi 3 Series generasi baru, yang mana bakal menjadi dua model saiz sederhana pengenalan pertama bagi Neue Klasse. Satu lagi model katanya adalah SUV bersaiz seperti X3.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required