MINI Electric (atau MINI Cooper SE) telah diberikan sedikit kemaskini bagi tahun 2023 di Malaysia. Ini didedahkan bersekali ketika majlis pengenalan model BMW 3 Series facelift dan skuter elektrik CE04 hari ini.

Kemaskini yang dilakukan pada model MINI Electric adalah termasuk pertambahan ciri bumbung panoramik serta pemanas untuk kerusi depan, dan selebihnya sama sahaja dengan penawaran sebelumnya. Ada juga warna baru ditawarkan, Nanuq White yang menyertai pilihan warna sedia ada White Silver dan Midnight Black.

Sebelum ini, model sama dilaporkan menerima peningkatan harga untuk tahun 2023 melibatkan RM7,900 bermula 1 Januari lalu, maka kemaskini dan pertambahan kelengkapan ini mencerminkan perkara itu. Ketika ini, MINI Electric dijual pada harga RM193,834 atas jalan tidak termasuk insuran, dan termasuk sekali jaminan dua-tahun standard. Dengan tempoh jaminan itu dilanjutkan kepada empat tahun dan juga pakej servis, harganya menjadi RM199,164.

Turut ada pilihan untuk pelanggan yang tidak mahukan ciri head-up display dalam model MINI ini, dengan harga jualannya RM191,546 (atau RM196,876 dengan lanjutan tempoh jaminan dan pakej servis).

Selain perubahan yang dinyatakan, kelengkapan standard model ini kekal sama dengan versi facelift 2021, termasuklah lampu depan LED adaptif, sistem tanpa kunci, pengawal pendingin dwi-zon, cermin anti-silau, kerusi balutan kulit buatan, Park Assist, head-up display, kluster instrumen digital lima-inci, MINI Navigation System dengan skrin tengah 8.8-inci dengan Apple CarPlay, sistem bunyi Harman Kardon dengan 12 pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi dan kamera undur.

Bagi pakej Driving Assistant, yang termasuk ciri AEB, pengesanan papan tanda trafik dan amaran penukaran lorong terus ditawarkan, bersama dengan enam beg udara, kawalan kestabilan dan ISOFIX.

Sistem janaan kuasa elektriknya juga kekal sama, dengan motor elektrik di depan menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 270 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat dan laju maksimum 150 km/j. Bateri lithium-ion pula berkapasiti 28.9 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 232 km mengikut kitaran WLTP. Pengecasan boleh dibuat menggunakan input AC (11 kW, Type 2) dalam masa 3.5 jam, atau pengecasan pantas DC (50 kW, CCS2) untuk 10-80% dalam masa 36 minit.