Yamaha EZ115 dilancar untuk pasaran Malaysia – RM5.6k, model sama seperti Sirius Fi pasaran Thailand

Yamaha EZ115 dilancar untuk pasaran Malaysia – RM5.6k, model sama seperti Sirius Fi pasaran Thailand

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan sebuah motosikal baru, yang dipanggil sebagai EZ115 untuk pasaran Malaysia, pada harga RM5,598 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam tiga warna dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek secara percuma.

Daripada pemerhatian kami, EZ115 sebenarnya adalah model yang sama seperti Sirius Fi di pasaran Thailand, dan bezanya cuma pada grafik, penutup rantai, fender belakang, cermin sisi serta penutup ekzos.

Walaupun menggunakan nama yang bermula dengan huruf EZ, motosikal ini bukanlah sebuah skuter, sebaliknya adalah kapcai bertransmisi empat kelajuan (tanpa klac tangan), dan dipacu oleh enjin satu silinder, SOHC, suntikan bahan api, 114 cc, mampu menghasilkan kuasa 8.7 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

Enjin yang mendapat penarafan Euro 4 itu boleh dihidupkan dengan menggunakan penendang kaki ataupun butang elektrik, sementara pada panel meter pula terdapat lampu penunjuk Eco serta tanda amaran bateri sekiranya bateri mula menjadi lemah.

EZ115 juga boleh memberikan kemudahan tambahan kepada pengguna dengan menyediakan ruang simpanan di bawah tempat duduk, tetapi ia telah menjadikan tangki bahan apinya sedikit kecil berbanding Lagenda 115Z, iaitu 3.9 liter (Lagenda berkapasiti 4.05 liter).

Bahagian lain motosikal ini dijadikan ringkas sahaja, dengan lampu masih menggunakan mentol, brek cakera hanya di depan (belakang menggunakan dram) dan rim bersaiz 17 inci dengan tayar 70/90 di depan dan 80/90 di belakang. Suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

Satu lagi yang menarik berkenaan EZ115, HLYM juga mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan siri perlumbaan ‘one-make race‘ untuk EZ115 dalam Malaysian Cub Prix tahun ini. Ia dibuat bagi menunjukkan potensi motosikal yang baru tiba dalam pasaran itu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required