Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah peruntukan sejumlah RM21.1 juta bagi kerja-kerja baikpulih cerun yang runtuh di Batang Kali. Ia susulan laporan bencana alam tanah runtuh yang dibentangkan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, penambahan peruntukan bagi baik pulih cerun terbabit adalah hasil cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), laporan Bernama. Tambah beliau, garis panduan berkaitan aktiviti komersil termasuk tapak perkhemahan akan diusaha sama antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan keselamatan warga Selangor yang menjalan aktiviti berkaitan.

Pada awal pagi 16 Disember 2022, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai tragedi tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang menyebabkan seramai 31 nyawa terkorban.

Laluan berkenaan telah ditutup buat sementara waktu untuk operasi menyelamat. Namun ia kembali dibuka sejak 6 Januari 2023 dan hanya laluan sementara yang melibatkan satu lorong sahaja. Ia juga terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas 1 (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter).

Dalam masa yang sama, JKR turut menyarankan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Ulu Yam-Batu Caves dan laluan Kuala Lumpur-Ipoh bagi mengurangkan risiko kesesakan.