Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan kerja pembaikan struktur jejambat Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang mengalami keretakan antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.
Katanya, kerja pembaikan itu akan dilaksanakan oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan perunding yang dilantik bagi membaiki struktur terbabit segera, laporan Harian Metro.
“Sepanjang tempoh pembaikian, stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya tidak ditutup cuma laluan menghubungkan kedua-duanya sahaja ditutup. Buat masa ini pengguna LRT akan menggunakan ‘shuttle bus’ yang disediakan bagi menghubungkan kedua-dua stesen itu.
“Proses pembaikan dua fasa iaitu fasa pendek dalam tempoh dua minggu untuk dipastikan ada pembaikan dan struktur itu selamat digunakan, manakala fasa panjang memastikan struktur itu kukuh. Kita menjangkakan laluan antara dua stesen ini terganggu dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini mengenai kerosakan struktur jejambat terbabit.
Beliau turut berkata, kedua-dua stesen itu akan dibuka semula apabila pihak berkenaan memastikan perkhidmatan itu selamat kepada pengguna.
“Lebih 200 kakitangan Prasarana dimobilasikan di dua stesen itu bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna. “Kita tiada pilihan kerana ini membabitkan isu keselamatan. Jadi, saya memohon maaf kepada pihak penumpang,” katanya.
Pada 27 Januari lalu, akses laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya pada LRT Laluan Ampang terpaksa disekat akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) dan struktur jejambat retak.
Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), hasil siasatan dan pemerhatian awal mendapati ada sebuah projek pembangunan bersebelahan kawasan kejadian yang telah mula dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

