Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed telah mengumumkan sejumlah tujuh jalan di sekitar kawasan Batu Caves akan ditutup mulai tengah malam ini hingga 8 Februari 2023. Ia adalah bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam yang bermula esok.
Walau bagaimana pun, katanya, penutupan tujuh jalan itu bergantung kepada situasi semasa, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.
“Jalan yang ditutup sepanjang tempoh itu adalah persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves dan Jalan Batu Caves Lama ke pintu utama Kuil Batu Caves.
“Selain itu, simpang tiga persimpangan lampu isyarat hadapan stesen minyak Shell Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8 atau Jalan Lama Batu Caves, susur MRR2 dari Sri Gombak menghala susur Jalan Perusahaan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya telah mula membuat hebahan mengenai penutupan jalan terbabit menerusi
papan iklan elektronik dari arah Bulatan Batu Caves menghala ke Gombak selain makluman di laman Facebook Polis Daerah Gombak.
“Laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis akan dikemas kini melalui platform media sosial Facebook Polis Daerah Gombak. Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata, seramai 1,888 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan di seluruh kontinjen Selangor akan bertugas dalam Op Palu di 45 stesen di lima zon di sekitar Batu Caves selain dibantu 11 agensi lain.
“Perarakan Thaipusam akan bermula dari Tun H S Lee ke Batu Caves jam 10 malam esok dan dijangka tiba jam 3 petang pada Sabtu ini, namun jadual perjalanan itu bergantung kepada keadaan cuaca dan trafik. Kita anggarkan seramai dua juta pengunjung terdiri dari dalam dan luar negara mengunjungi Kuil Batu Caves bagi tempoh 15 Januari lalu hingga 15 Februari nanti,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai supaya meletakkan kenderaan di kawasan dibenarkan dengan memastikan ia ditinggalkan dalam keadaan berkunci, manakala pemilik motosikal dinasihatkan meletakkan kunci tambahan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.