Sebelum ini Mitsubishi sudah beberapa kali menyatakan bahawa selepas sayap prestasinya iaitu Ralliart dihidupkan semula pada 2021, jenama berkenaan terlebih dahulu akan hadir dengan kelengkapan dan model-model edisi khas yang menampilkan tingkat taraf kosmetik semata-mata, dan bakal diikuti dengan tingkat taraf prestasi sebenar selepas itu.
Buat masa sekarang, model-model edisi khas berkenaan sudahpun dijual di pasaran seperti Jepun dan Thailand, dan ia hanya membabitkan perubahan pada kit serta grafik badan. Manakala bagi model yang benar-benar mendapat talaan prestasi, ia mungkin akan muncul di Jepun tahun hadapan.
Menurut laporan media Jepun, Best Car Web, Mitsubishi dijangka bakal memperkenalkan model Outlander PHEV Ralliart pada 2024, yang bukan sahaja menampilkan rupa lebih garang dari model standard, malah bakal dibekalkan dengan kuasa lebih besar.
Outlander generasi baharu telahpun diperkenalkan pada Mac 2021, dan merupakan kembar kepada Nissan X-Trail generasi baharu. Ia diasaskan dari platform CMF-F pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, tetapi untuk Outlander PHEV ia masih digerakkan oleh sistem rangkaian kuasa Mitsubishi yang ditingkat taraf dari Outlander PHEV generasi terdahulu.
Model PHEV berkenaan menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS. Enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi.
Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm.
Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm dalam keadaan standard. Dan menurut Best Car Web, Outlander PHEV yang menerima talaan Ralliart kelak bakal menampilkan kuasa gabungan sehingga 290 PS!
Dari segi rupa, Outlander PHEV Ralliart berkenaan dijangka akan dihasilkan sebagai model produksi bagi model konsep Vision Ralliart yang didedahkan pada Tokyo Auto Salon tahun lalu. Model konsep berkenaan sememangnya diasaskan dari Outlander dan menerima kit badan serta set rim jauh lebih agresif.
Selain rupa yang lebih garang serta kuasa yang lebih besar, Mitsubishi Outlander PHEV Ralliart tersebut turut dijangka bakal diberikan talaan semula pada suspensi yang lebih sporty.
Mitsubishi Ralliart sekarang bukan sahaja sedang menghasilkan komponen dan model-model prestasi, malah pasukan berkenaan kini turut telah berlumba kembali. Tahun lalu pasukan Mitsubishi Ralliart yang dipimpin lagenda Rali Dakar, Hiroshi Masuoka telah menyertai rali rentas negara Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022 dari Thailand ke Kemboja menggunakan trak pikap Mitsubishi Triton T1, dan berjaya menjuarai perlumbaan tersebut hanya dalam percubaan kali pertama.
GALERI: Mitsubishi Vision Ralliart Concept 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.