2022 Mitsubishi Outlander shown.

Dah lama betul kita tak dengar Mitsubishi melancancarkan model yang benar-benar baharu kan? Nah ini dia, setelah sembilan tahun model generasi sedia ada berada dalam pasaran dengan pelbagai facelift, SUV segmen-C Mitsubishi Outlander kini diperkenalkan dalam versi generasi keempat.

SUV tujuh-tempat duduk ini dihasilkan serba baharu dengan pelbagai teknologi terkini, dan seperti yang dapat dilihat dalam gambar-gambar intipan sebelum ini, ia merupakan versi produksi untuk model konsep Engelberg Tourer yang muncul pada 2019. Rekaan asas Outlander 2022 ini menampilkan elemen rekaan “Bold Stride” iaitu sebahagian dari konsep produk “I-Fu-Do-Do”, yang bermaksud asli dan agung dalam bahasa Jepun.

Pada bahagian muka, Outlander diberikan muka dengan rekaan signatur Dynamic Shield terkini Mitsubishi sama seperti yang ditampilkan pada Eclipse Cross facelift terbaharu. Lampu utama diletakkan pada bahagian bampar, manakala lampu nyalaan siang yang lebih tirus diletakkan pada bahagian atas, bersambung dengan gril heksagonal bersama tiga jalur krom utama. Kemasan skid plate juga direka agak besar bagi menyerlahkan imej lasak SUV ini.

Pada bahagian sisi, kesemua ruang roda Outlander ini diberikan rekaan fender flare yang nampak lebih gagah. Bumbung direka seakan terapung menerusi kemasan hitam yang diberikan pada tiang-D.

2022 Mitsubishi Outlander shown.

Manakala di belakang, ia turut diberikan elemen heksagon pada pintu tailgate, yang menurut Mitsubishi ia diinspirasikan dari tayar gantian klasik yang digantung pada sebelah luar pada SUV ikonik mereka, Pajero. Lampu melintang dengan bentuk-T diberikan di belakang bagi memberikan rupa yang lebih lebar dan stabil pada Outlander berkenaan.

Secara keseluruhan , sembilan warna badan ditawarkan untuk Outlander 2022 ini termasuk enam warna standard. Tiga warna yang lain adalah warna istimewa siri Diamond dengan kecerahan yang tinggi, terdiri dari White Diamond, Red Diamond dan Black Diamond – warna terakhir ini menampilkan kemasan tiga lapisan bersama lapisan seakan serpihan kaca yang berkepadatan tinggi.

Badan bahagian kabin, Outlander kini diberikan papan pemuka dengan elemen lebih ringkas dan mendatar yang lebih moden, menampilkan balutan kulit pada tingkat atas, bersama skrin infotainmen yang berdiri sendiri. Konsol tengah yang menempatkan tombol gear dan butang pemilih mod pemanduan pula direka tinggi untuk memudahkan capaian.

Material-material yang digunakan badan bahagian kabin ini adalah lebih baik dari sebelumnya, termasuk penggunaan upholsteri kulit separa-aniline dan juga kemasan sekeliling tombol gear yang menggunakan aluminium sebenar. Tempat duduk hadapan pula diberikan struktur dua lapisan urethane bagi memberikan keselesaan lebih baik ketika perjalanan jauh.

2022 Mitsubishi Outlander interior shown

Outlander ini masih disasarkan sebagai SUV keluarga, jadi ia menampilkan ruang dalaman yang lebih luas dari sebelum ini. Badannya dihasilkan lebih lebar serta diberikan ruang kaki lebih luas untuk penumpang baris pertama dan kedua. Tempat duduk baris kedua juga direka membolehkan ia digelangsarkan dan dilipat dengan nisbah 40:20:40, memberikan lebih praktikaliti dan lebih fleksibel.

Menurut Mitsubishi lagi, model generasi baharu ini turut menampilkan lebih banyak tempat simpanan telefon pintar, termasuk pada bahagian tray konsol tengah dan sisi, belakang tempat duduk pemandu dan juga panel sisi tempat duduk baris ketiga.

Teknologi dalam kabin model generasi baharu ini juga menawarkan sistem yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Outlander 2021 diberikan paparan instrumen digital buat pertama kali dengan skrin 12.3-inci untuk pemandu, bersama paparan head-up 10.8-inci.

Manakala untuk sistem infotainmen, ia dilengkapkan dengan skrin sembilan-inci, yang turut menampilkan sistem navigasi, serta hubungan tanpa wayar kepada telefon pintar untuk operasi Apple CarPlay dan Android Auto. Mitsubishi juga merancang untuk menawarkan sistem informasi trafik masa sebenar serta kemaskini perisian over-the-air pada masa terdekat.

Buat masa sekarang, Outlander generasi baharu ini menawarkan sistem bunyi Bose dengan 10-pembesar suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15-watt, port mengecaj USB-A dan USB-C di konsol tengah dan juga sistem pendingin hawa tiga-zon bersama pemanas tempat duduk dan pelindung matahari.

Bagi sistem keselamatan, model generasi baharu ini tampil dengan Mi-Pilot Assist, yang menggabungkan bantuan pemanduan seperti cruise control adpatif bersama fungsi berhenti dan mula, serta bantuan pengekal tengah lorong. Model yang datang dengan sistem navigasi pula, penetapan kelajuan sistem cruise control tersebut boleh berfungsi secara automatik berdasarkan sistem pengenal tanda trafik, dan ia akan memperlahankan kereta pada selekoh serta susur keluar lebuh raya.

Kesemua varian Outlander 2022 ini akan datang standard dengan sembilan beg udara, termasuk dua beg udara sisi di belakang dan beg udara tengah hadapan antara pemandu dan penumpang. Ia juga diberikan sistem Mitsubishi Connect yang akan memberikan fungsi panggilan kecemasan serta pelbagai fungsi yang boleh dikawal dalam jarak jauh.

Outlander diasaskan dari platform serba baharu yang menggunakan logam berkekuatan tegangan ultra tinggi dan juga stamping panas – model pertama dari Mitsubishi yang menggunakan proses berkenaan. Ia juga diberikan struktur sambungan berkitar pada ruang enjin dan kabin, memberikan kekuatan torsi dan lenturan lebih tinggi dari model sebelum ini.

Pada bahagian belakang, Outlander dilengkapkan dengan suspensi bebas jenis multi-link, bersama sistem stereng dua-pinan berkuasa elektrik yang memberikan keselesaan dan juga pengendalian yang lebih terus serta linear.

Menerusi Outlander ini juga Mitsubishi memperkenalkan enjin petrol 2.5 liter empat-silnder baharunya. Namun sebarang perincian berkenaan enjin tersebut masih belum didedahkan. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT dengan lapan kelajuan maya yang didakwa mampu memberikan kecekapan bahan api 8.9 peratus lebih baik dalam kitaran WLTP yang lebih ketat.

SUV tujuh tempat duduk ini masih ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda. Bagi model AWD, ia menampilkan teknologi Super All Wheel Control (S-AWC) Mitsubishi yang telah ditingkat taraf dengan agihan tork ke setiap roda yang lebih jitu.

Manakala bagi model pacuan roda hadapan, ia kini turut dilengkapkan dengan sistem Active Yaw Control (AYC) yang beroperasi menerusi sistem brek. Kesemua model menampilkan mod pemanduan dengan tetapan Eco, Normal, Tarmac, Gravel dan Snow. Model AWD turut hadir dengan satu lagi mod istimewa iaitu Mud.

Outlander generasi baharu ini telah diumumkan akan terus menawarkan versi yang dijana sistem hibrid plug-in (PHEV) sama seperti model generasi sebelumnya. Walau bagaimanapun, sebarang perincian berkenaan unit penjana tersebut juga masih belum diumum.

Namun kita mungkin boleh menjangkakan ia adalah sistem produksi berdasarkan sistem konsep pada Engelberg Tourer yang menampilkan enjin petrol 2.4 liter, motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang serta pek bateri litium-ion 20 kWj – ia didakwa mampu menawarkan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 70 km dan jarak gerak keseluruhan lebih 700 km.

Mitsubishi Outlander akan mendarat pada pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu bermula April ini, dengan harga bermula pada US$25,795 (RM104,000). Selepas itu, ia turut akan dipasarkan ke pasaran lain seluruh dunia.