Ferrari Roma dalam banyak hal menjadi penerus kepada barisan model GT sebelumnya bagi jenama itu. Yang dimaksudkan adalah, ia ingin lari daripada konfigurasi model kereta sport kental Ferrari yang biasanya hanya ada dua tempat duduk, dan memberikan sedikit praktikaliti dan kesenangan pemanduan: mungkin ia difikirkan untuk memenuhi keperluan kegunaan harian — dan bukan lagi hanya sebagai kereta hujung minggu — tetapi masih dalam pakej dan imej ikonik Ferrari.
Inilah yang dapat kami rasakan dalam pengalaman singkat memandu Ferrari Roma sebelum ini. Ia hadir dengan konfigurasi tempat duduk 2+2, dengan rekaan umum fastback coupe yang menawan dan dalam masa yang sama, memberi kelebihan terhadap keluasan ruang kabin. Ia terasa lebih jinak dan mudah untuk dipandu, tidak hanya perlu melayani naluri sport dan agrasif sepanjang masa. Enjin V8 yang ada padanya juga lebih “bertenang”, dan tidak canggung sekiranya hanya ingin dipandu secara santai dalam bandar.
Tentang ruang kabinnya, ia menampilkan paparan yang luas dan menarik, termasuk bagi penumpang di sebelah. Dan, dengan dua tempat duduk tambahan di belakang, ia bukanlah dalam konfigurasi kereta biasa yang kita fahami, tetapi cukup untuk menyediakan ruang tambahan, mungkin sesuai untuk yang berbadan kecil atau kanak-kanak, atau bahkan boleh dimanfaatkan sebagai ruang tambahan untuk membawa barang. Orang dewasa misalnya mungkin akan sukar untuk duduk di belakang dengan selesa.
Tetapi, keseronokan atau aspirasinya utamanya tentulah untuk pemandu. Kuasa Ferrari Roma dijana oleh enjin F154 3.9 liter turbocas berkembar, unit yang sama digunakan untuk model Portofino, dengan tambahan kuasa sebanyak 20 PS: menjadikannya 620 PS dari 5,750 hingga 7,500 rpm dan tork 760 Nm antara 3,000 dan 5,750 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan dwi-klac dari model Stradale.
Ukuran dimensi Ferrari Roma terdiri daripada 4,656 mm panjang, 1,974 mm lebar, 1,301 mm tinggi dan jarak antara roda 2,670 mm. Seperti dinyatakan tadi, Roma datang dengan konfigurasi tempat duduk 2+2 bersama sedikit ruang di bahagian belakang untuk meletak barang atau menempatkan penumpang bertubuh kecil/kanak-kanak. Kapasiti ruang butnya pula ialah 272 liter.
Dengan berat 1,472 kg — ini 200 kg lebih ringan berbanding Portofino — Roma mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat, dan kelajuan 200 km/j yang boleh dicapai dalam masa 9.3 saat serta laju maksimum boleh mencecah 320 km/j. Dari segi penggayaannya juga, elemen rekaan dari SF90 Stradale dapat dilihat ketara. Rekaan bawah badan di bahagian depannya serta aerodinamik aktif di belakang memberikan Roma kelebihan 95 kg lebih downforce berbanding Portofino, pada kelajuan 250 km/j.
Di dalam, Roma hadir dengan struktur simetri pada hampir segenap sudut. Skrin sentuh HD 8.4-inci seperti tablet terletak di bahagian tengah papan pemuka bersaiz sedikit kecil. Roma juga hadir dengan butang kawalan digantikan dengan butang digital atau kawalan sesentuh. Ini termasuklah butang kawalan digital pada roda stereng (ingat butang Blackberry?). Tiada lagi butang kawalan konvensional disertakan.
Ringkasnya, Roma membawakan pengalaman jentera litar Ferrari tetapi dengan pengalaman yang lebih memudahkan pemandu untuk kegunaan di jalan. Sebagai contoh, dari pengalaman untuk menghidupkan enjinnya, untuk masuk gear undur, tuil merah khusus pada stereng untuk larasan tetapan suspensi dan mungkin paparan yang boleh ditunjau oleh pemandu, semua itu ada aspirasi litarnya.
Tetapi, untuk memandunya, ia tidaklah terlalu mendesar dan merimaskan dengan maklum balas dan penyampaian kuasa yang mendadak. Cuma, dengan reka bentuk yang beralun, tayar lebar dan kedudukan graiviti yang rendah, menikmati selekoh dengan ketepatan stereng adalah antara keseronokannya dengan kereta ini. Bahkan, kepada orang yang jarang-jarang ada pengalaman memandu Ferrari yang lebih agresif juga akan merasakan kereta ini sangat mudah dikendalikan. Cuma, jika ingin merasakan keterujaan kuasanya, maka pastikan dulu kemampuan memandu anda juga mampu mengawal semua itu.
Ketika pelancarannya, Ferrari Roma di Malaysia diberikan harga asas RM968,000, tidak termasuk pilihan kustom, duti, cukai dan insurans. Jika semuanya diambil kira, harganya akan berada dalam daerah yang sama dengan model V8 pengeluar lain, seperti Mercedes-AMG GT C (dan GT R) dan Aston Martin V8 Vantage. Termasuk dalam pembelian Roma ini ialah program selenggara berjadual selama tujuh-tahun, secara percuma.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.