Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

Art of Speed Malaysia (AOSM) hari ini secara rasminya telah mengumumkan tarikh untuk acara tahunannya bagi edisi ke-12 – Art of Speed (AOS) 2023 bakal bermula pada 29 hingga 30 Julai ini, dan ia masih akan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), Selangor dengan tema “Raikan Beza Mu”.

Dalam satu sidang media yang dilangsungkan oleh Art of Speed Malaysia pagi ini, AOS 2023 disifatkan sebagai edisi yang paling besar bakal diadakan sejak acara pertama yang dilangsungkan pada 2012. Ini kerana AOS 2023 bakal menggunakan kesemua Dewan A, Dewan B (sebelum ini merupakan bangunan yang digunakan oleh Universiti Perdana), Dewan C dan Dewan D di MAEPS, serta sebahagian kawasan sekitarnya.

Ini menjadikan AOS 2023 bakal dilangsungkan di dalam ruang tertutup seluas 350,000 kaki persegi dan ruang luar seluas 8.6 ekar! Bukan sahaja semakin besar, malah penganjur turut menjanjikan bahawa AOS 2023 bakal menjadi edisi terbaik yang pernah diadakan.

Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

Antara pengisian baharu yang bakal ditampilkan pada AOS 2023 ini adalah Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally”. Acara ini akan diadakan kawasan terbuka yang dikhaskan sepenuhnya untuk penunggang dan peminat motosikal serta bakal menghidangkan pertunjukan aksi motosikal yang dipersembahkan oleh penunggang profesional, serta tunggangan mega dan perhimpunan pelbagai kumpulan motosikal dari seluruh Malaysia dan dari sekitar rantau ini.

AOS 2023 juga bakal menjadi ‘syurga’ kepada peminat Hot Wheels kerana keseluruhan Dewan B hanya akan dipenuhi ‘kereta kecil’ berkenaan menerusi pelbagai acara yang akan dilangsungkan. Antaranya adalah penganjuran Hot Wheels Collector Convention Rasmi Pertama di rantau Asia Tenggara, pameran-pameran diorama, sesi beramah mesra dengan pereka Hot Wheels dari Amerika Syarikat dan pelbagai lagi.

Malah untuk model Proton Saga yang bakal dihasilkan oleh Hot Wheels sempena ulang tahun ke-40 Mattel Malaysia, Mattel turut menjemput semua kanak-kanak di Malaysia datang melatih kreativiti mereka untuk menyertai Hot Wheels x Proton Kids Design Competition di AOS 2023. Rekaan yang memenangi pertandingan ini bakal digunakan sebagai kad ‘blister’ Proton Saga ‘edisi khas’ dan akan dijual di seluruh negara di Malaysia pada awal 2024 nanti.

Pada AOS 2023 ini juga akan menyaksikan pertandingan Hot Wheels Legends Tour 2023 akan diadakan di Malaysia secara realiti buat pertama kali selepas ia dilangsungkan secara maya untuk edisi-edisi sebelum ini akibat kekangan pandemik Covid-19.

Pusingan kelayakan akan diadakan di AOS 2023 dengan pertandingan yang akan berlangsung pada hari Ahad. Ia akan menampilkan juri-juri tempatan dan antarabangsa untuk memilih johan yang akan mewakili Malaysia di pentas dunia – kereta yang menang di peringkat global kelak bakal dijadikan sebagai kereta Hot Wheels skala 1/64 dan akan dijual ke seluruh dunia.

Antara acara lain yang akan berlangsung sepanjang AOS 2023 ini termasuk Pesta NEAT oleh No Equal (Dewan C), perkhemahan dan gaya hidup outdoor Off The Grid (Dewan C), Hail Vintage (Dewan D), Kustom & Koffee Talk (Dewan A), Show & Shine (Dewan A) dan pelbagai lagi.

Bagi pemenang Best of Show untuk Show & Shine tahun ini bakal dibawa ke lawatan The 31st Annual Yokohama Hot Rod Custom Show yang akan diadakan pada Disember 2023 nanti di Jepun. Manakala untuk pengunjung, sesi cabutan bertuah akan menawarkan hadiah utama berupa sebuah Toyota Celica 1979 yang menerima ubahsuai suspensi udara.

Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

AOSM akan menyediakan Food Park di keseluruhan ruang bawah Dewan D. Untuk anda yang mencari barang-barang restorasi atau ubahsuai motosikal dan kereta lama, AOS 2023 masih akan menampilkan pelbagai vendor yang akan memenuhi Automotive Flea Market.

Pelbagai jenama motosikal termasuk Ducati, Royal Alloy, Italjet, Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Harley-Davidson dan lain-lain turut akan ke AOS 2023 di Test Ride Zone bagi membolehkan pengunjung menunggang uji model-model motosikal baharu.

Seperti biasa, tetamu-tetamu jemputan dari luar turut akan dibawa, antaranya Shige Suganuma, Emi Suganuma, “Sunny” Yano dan Michi “NATQQ” dari Mooneyes, Jepun; Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters, Jepun; Vondutch dari Indonesia, Ya Seat dari Thailand dan ramai lagi. Acara persembahan muzik SoundCircus Festival turut akan dilangsungkan pada AOS 2023 ini.

“Sejak penubuhannya, Art of Speed Malaysia telah berjaya menjadi pelopor perhimpunan besar bukan sahaja untuk peminat motosikal dan kereta, tetapi juga pengamal seni, pemuzik, pengumpul dan seumpamanya, dan terus mendominasi dalam acara tahunan yang berskala besar,” kata Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival AOSM.

Art of Speed 2023 – edisi ke-12 bakal jadi yang terbesar pernah diadakan, berlangsung 29-30 Julai

“Pada tahun ini, AOSM akan meraikan ulang tahun ke-12 pertunjukan tahunannya, bagi menyemarakkan lagi semangat peminat yang bersemangat tinggi, kami persembahkan sebuah acara yang rugi untuk dilepaskan oleh semua,” tambahnya lagi.

Untuk kedua-dua hari AOS 2023 berlangsung, ia akan mula dibuka bermula 10 pagi dan berakhir pada 7 malam. Pas hujung minggu AOS 2023 boleh diperolehi di pintu hadapan ketika acara ini berlangsung dan juga secara atas talian dengan harga RM35.00. Manakala bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan juga pemegang pas OKU, masuk secara percuma.

AOSM turut akan menjual pas Speed Lane untuk AOS 2023 yang berharga RM60.00. Bagi pembeli pas Speed Lane ini, anda akan dibenarkan masuk lebih awal iaitu pada pukul 9 pagi, dan ia sah untuk kedua-dua hari. Kombo SoundCircus Festival + Weekend Pass pula akan mula dijual secara atas talian tidak lama lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required