Proton Satria Neo R3 Lotus Racing diiklankan dijual pada harga RM128k – masih nampak macam baru!

Proton Satria Neo R3 Lotus Racing diiklankan dijual pada harga RM128k – masih nampak macam baru!

Ketika dilancarkan pada 2010, Proton Satria Neo R3 Lotus Racing iaitu model edisi terhad hanya 25-unit dijual pada harga RM115,000, atau sekitar sekali ganda lebih mahal dari Satria Neo CPS biasa. Namun dalam satu iklan jualan yang dibuat oleh laman Facebook tempatan, Prestige Motorcars baru-baru ini, harga Neo R3 Lotus Racing terpakai berkenaan tidak turun, malah lebih mahal dengan dijual pada harga RM128,000!

Berdasarkan gambar yang disertakan, Neo R3 Lotus Racing berkenaan masih lagi dalam keaadan sempurna seperti baharu pada bahagian luaran dan dalaman, bersama semua peralatan-peralatan yang masih asli, serta meter perbatuan enjin yang mencatatkan perjalanan sejauh 86,060 km.

Satria Neo R3 Lotus Racing ini merupakan model yang dibangunkan sepenuhnya oleh sayap perlumbaan rasmi Proton iaitu R3, dan ia dihasilkan bagi meraikan kembalinya semula Lotus – ketika itu pembuat kereta sport British berkenaan masih milik Proton sepenuhnya – ke perlumbaan Formula 1.

Bukan hanya nama “R3”, “Lotus Racing” dan jumlah produksi yang sangat terhad membuatkan kereta ini mahal, ia benar-benar dipenuhi dengan pelbagai komponen prestasi yang sangat premium dan eksklusif.

Neo Lotus Racing ini masih dijana oleh enjin 1.6 liter sama seperti enjin CPS pada model standard. Namun enjin berkenaan telah ditala semula oleh R3 dengan memadankan aci sesondol durasi lebih tinggi bersama pulley boleh laras, sistem ekzos logam tahan karat dan sistem kemasukan yang direka semula serta kotak komputer enjin talaan khas.

Ini membolehkan enjin tersebut mampu menghasilkan 145 hp dan tork maksima 168 Nm berbanding hanya 125 hp/150 Nm pada model CPS standard. Bukan sahaja lebih berkuasa, sistem injap bervariasi CPS ala-VTEC pada enjin ini juga dibuka lebih cepat iaitu pada 4,000 rpm (4,400 rpm bagi CPS biasa) dan ia tidak mempunyai masalah untuk menjerit sehingga 7,000 rpm.

Kotak gear manual lima kelajuan pada Neo R3 Lotus Racing ini juga disentuh semula oleh R3 dengan diberikan nisbah gear lebih rapat, bersama nisbah akhir 4.625 yang lebih besar dari standard. Ini membolehkan model istimewa tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat sebelum mencapat kelajuan maksima 205 km/j.

Antara kelengkapan mekanikal lain yang dipadankan pada Neo R3 Lotus Racing ini termasuk sistem suspensi perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari Ohlins, sistem brek hadapan dengan cakera larik dan angkup empat omboh dari AP Racing, rim aloi ringan 16×7 inci dari Advanti dengan tayar Bridgestone Adrenalin RE001 bersaiz 205/45 R16, dan pelbagai lagi.

Proton Satria Neo R3 Lotus Racing diiklankan dijual pada harga RM128k – masih nampak macam baru!

Untuk rupa luaran, model ini diberikan kit badan R3 yang dihasilkan untuk kereta lumba Satria Neo sebenar yang berlumba di Asian Touring Car Series (ATCS), bersama fender sisi hadapan khas dari material FRP dengan liang dan logo Lotus Racing, penutup bonet enjin dan door sach gentian karbon, serta layangan warna hijau Lotus Racing Green bersama jalur perlumbaan kuning dari bonet hingga pintu hatch belakang.

Manakala dalam kabin, Satria Neo R3 Lotus Racing ini diberikan tempat duduk bucket R3 balutan kulit Nappa dan sulaman logo Lotus Racing pada perehat kepala, roda stereng balutan kulit dengan tanda pukul 12 berwarna kuning serta perincian-perincian asli R3 seperti tombol gear, set pedal aloi dan juga butang penghidup enjin.

Selain itu ia juga diberikan kemasan-kemasan hijau pada papan pemuka, serta panel pintu yang diberikan upholsteri kulit istimewa bersama panel-panel hijau.

Berbalik pada unit yang diiklankan untuk dijual ini, boleh dilihat bampar hadapannya masih lagi menggunakan komponen asli. Bampar hadapan bagi Neo R3 Lotus Racing ini antara komponen yang agak sukar dijaga kerana bahagian spoiler bawahnya yang begitu rendah akan menyebabkan bampar berkenaan retak sekiranya terhentak pada permukaan jalan.

Proton Satria Neo R3 Lotus Racing diiklankan dijual pada harga RM128k – masih nampak macam baru!

Lazimnya sekiranya bampar berkenaan retak, perkara yang mudah untuk dilakukan adalah menukar bampar tersebut dengan bampar aftermarket untuk Satria Neo yang pernah dijual oleh R3 satu ketika dahulu – sekali imbas bampar berkenaan nampak sama, tapi jika dilihat dengan teliti, bampar aftermarket R3 tersebut mempunyai sepasang lampu kabus serta bahagian spoiler bawah yang lebih tinggi.

Unit yang hendak dijual ini juga disarungkan dengan tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE003 bagi menggantikan tayar Potenza Adrenalin RE001 yang kini tidak lagi dijual. Ini menunjukkan bahawa pemilik asalnya begitu komited bagi memastikan kereta ini berada dalam keadaan benar-benar hampir ke spesifikasi asli.

Walaupun Proton mengumumkan bahawa hanya 25-unit Satria Neo R3 Lotus Racing ini dihasilkan, sebenarnya hanya 22-unit yang dijual dalam pasaran, manakala tiga unit lagi merupakan unit pra-pembangunan yang tidak jual.

Malah menerusi pertemuan penulis dengan kumpulan pemilik Proton Satria Neo R3 Lotus Racing ini di Dream Street Restoration tahun lalu, difahamkan bahawa tiga dari 22-unit sudah tidak lagi berada di atas jalan raya – sebuah telah dijelmakan sebagai kereta lumba sepenuhnya, sebuah lagi telah di’convert’ sebagai kereta konsep Proton Artiga, dan sebuah lagi sudah pun ‘total lost’ kerana terlibat dalam kemalangan.

Seramai 17 orang pemilik Satria Neo Lotus Racing ini disahkan masih wujud serta masih berhubung sesama mereka, manakala pemilik lagi dua unit model edisi terhad ini masih dicari.

Dengan semua fakta ini, adakah anda rasa RM128k masih terlalu mahal untuk sebuah Proton lama? Apa pun, ia adalah ‘harga buka’ yang ditawarkan oleh penjual. Harga pasaran sebenar untuk model ini seharusnya berpandukan berapa harga jualan sebenarnya nanti sekiranya ia benar-benar terjual kelak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required