Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

Baru-baru ini tular satu hantaran di Facebook Group Mekanik kereta & Info² berkenaan kenderaan dari seorang pengguna FB wanita, memaparkan bil pembaikan kereta yang mencecah hampir RM5,000. Menurutnya, dia mahukan pengesahan dari ahli-ahli dalam FB Group tersebut adakah bil tersebut berpatutan kerana pada asalnya kereta tersebut dihantar ke bengkel hanya untuk masalah brek yang kurang mencengkam.

“Assalamualaikum abang-abang pomen…saya ada hantar kereta kat bengkel…tujuan saya hantar tu sebab brek tak makan jaa…lepas tu dia test kereta saya, dia kata pam brek, okey laa….saya kata tukar…lepas tu dia buka dia kata macam-macam laa rosak…total semua RM4.7k ka…nak tanya abang-abang pomen betoi ka harga barang-barang tu sampai macam tu sekali…maklum la perempuan kan yg hantar kereta kat bengkel….orang perempuan kan tak berapa tahu bab-bab ni”, tulis hantaran tersebut.

Melihat bil berkenaan, berdasarkan pengalaman kerja penulis sendiri, senarai barang yang ditukar adalah komponen haus dan lusuh biasa untuk sebuah Honda Jazz/City generasi GD. Kenapa sampai lapan palam pencucuh dan lima plug coil perlu ditukar?

Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

Ini kerana kereta tersebut adalah model yang dibekalkan dengan enjin Intelligent-Dual & Sequential Ignition (i-DSI) yang sememangnya menggunakan dua palam pencucuh dan dua plug coil untuk setiap silinder, menjadikan lapan keseluruhan untuk dua komponen itu. Nasib baik juga hanya lima plug coil yang rosak bukan kesemua lapan unit, dan cagak transmisi serta cagak enjin tidak rosak sekali dalam masa serentak.

Jadi memang mahal ke kos penjangaan sebuah Honda City/Jazz lama ni? Sebenarnya tidak, cuma pemiliknya kali ini tidak berapa bertuah kerana kesemua komponen haus dan lusuh tersebut ditukar secara serentak. Dan ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan – mungkin kereta ini jarang diservis, atau pada setiap servis berkala hanya minyak enjin yang ditukar dan komponen lain tidak diperiksa dengan teliti.

Jadi dalam artikel ini penulis akan memberikan beberapa tips bagi mengelakkan anda berada dalam situasi yang sama.

1. Minta sebut harga terlebih dahulu

Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

Bagi mengelakkan anda dikenakan cas berlebihan dalam satu-satu pembaikan di bengkel yang anda tidak biasa, ada baiknya anda meminta sebut harga terlebih dahulu. Sekiranya anda rasa terlalu mahal, jangan bersetuju dengan kerja pembaikan yang akan dibuat.

Jadi anda boleh membuat sebut harga di bengkel-bengkel berbeza untuk anda bandingkan harga-harga yang ditawarkan setiap bengkel. Namun cara ini agak mengambil masa.

2. Pemeriksaan berkala perlu dibuat setiap kali servis

Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

Lazimnya selepas habis waranti satu-satu kenderaan, pemiliknya sudah tentu membawa kereta mereka untuk diservis di bengkel-bengkel biasa bukan? Sekiranya servis kereta di bengkel sebegini, amalkan untuk meminta mekanik memeriksa kesemua bahagian-bahagian penting kereta anda untuk mengenalpasti komponen haus dan lusuh yang perlu ditukar segera atau pada servis akan datang.

Ini bagi mengelakkan anda tersadai di tepi jalan dan juga mengelakkan kesemua masalah berkenaan terkumpul dan menyebabkan anda perlu mengeluarkan kos yang banyak pada satu-satu masa, kerana pembaikkan tersebut perlu dibuat serentak.

Jika anda menghantar kereta di pusat-pusat servis bertauliah jenama masing-masing, pemeriksaan ini akan dilakukan secara rutin untuk setiap servis, jadi anda tak perlu risau. Senarai perkara-perkara yang perlu diperiksa tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

3. Simpan rekod servis

Kalau boleh, setiap bil-bil pembaikkan yang dibuat terhadap kereta anda disimpan dalam satu fail khas. Ini secara tidak langsung akan mewujudkan pangkalan data untuk anda sendiri bagi merujuk kembali pembaikkan yang telah dibuat. Jadi anda boleh buat persediaan bila komponen sama perlu ditukar sekali lagi dan segala bajet untuk kerja-kerja tersebut boleh disediakan lebih awal.

4. Hantar kereta ke bengkel yang boleh dipercayai.

Pelanggan rasa tertipu selepas kos pembaikkan kereta cecah hampir RM5k; bagaimana nak elak situasi ini?

Jika anda terus menghantar kereta ke pusat servis bertauliah, selain dari pemeriksaan rutin yang sentiasa dibuat, rekod pembaikan kereta anda juga akan disimpan di pangkalan data mereka. Jadi anda tidak perlu bersusah payah untuk menyimpan bil-bil pembaikan.

Kadang-kala seorang penasihat servis yang baik dan bertanggung jawab turut akan memberitahu dan memberikan peringatan bila komponen-komponen tertentu terutamanya yang mahal perlu ditukar bagi membolehkan anda bersedia.

Namun buat masa sekarang, bukan hanya pusat servis pengeluar yang menyediakan perkhidmatan sebegini. Ada juga bengkel-bengkel biasa yang sudahpun menyediakan penasihat servis untuk anda dan menyediakan pangkalan data bagi menyimpan rekod pembaikan kereta anda.

Sekiranya anda tidak jumpa bengkel sebegini, sekurang-kurangnya amalkan hantar kereta anda hanya pada satu bengkel yang anda percayai. Biasanya mekanik atau tuan punya bengkel akan ingat apa yang telah mereka buat pada kereta anda dan memberikan peringatan yang sama tentang servis-servis yang perlu anda buat. Malah dengan menjadi pelanggan setia, kemungkinan untuk anda ditipu dengan diberikan harga yang tidak munasabah juga lebih rendah bukan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required