Pemandu WRC Hyundai, Craig Breen maut dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-Rali Croatia 2023

Pemandu WRC Hyundai, Craig Breen maut dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-Rali Croatia 2023

Pemandu Kejohanan Rali Dunia (WRC) pasukan Hyundai Motorsport, Craig Breen disahkan meninggal dunia selepas jentera Hyundai i20 N Rally1 Hybrid yang dipandunya terlibat dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-perlumbaan sebelum bermulanya Rali Croatia 2023 yang akan berlangsung 20 April ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Hyundai Motorsport susulan kejadian tersebut, nyawa Craig yang berumur 33-tahun tidak dapat diselamatkan, namun juru arahnya James Fulton tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden yang berlaku sekitar tengah hari semalam waktu tempatan.

Hyundai Motorsport turut mengucapkan takziah kepada keluarga Craig, rakan-rakan dan juga semua peminatnya, namun tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berkenaan kemalangan itu buat masa ini.

Walaupun belum sempat mencapai sebarang kemenangan dalam WRC, Craig merupakan personaliti penting dalam kejohanan berkenaan kerana sering memberikan persembahan ‘flat out’ dalam SS, dan juga komen-komen menghiburkan selepas perlumbaan. Beliau turut dianggap wira dan memberikan inspirasi terhadap pemandu-pemandu muda di negara kelahirannya iaitu Ireland.

Pemandu WRC Hyundai, Craig Breen maut dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-Rali Croatia 2023

2023 FIA World Rally Championship
Round 02, Rally Sweden
9-12 February 2023
Craig Breen, James Fulton, Hyundai i20 N Rally1 Hybrid
Photographer: Dufour Fabien
Worldwide copyright: Hyundai Motorsport GmbH

Craig Breen merupakan juara WRC Academy (dikenali sebagai FIA Junior WRC sekarang) 2011, dengan kemenangan dicapai bersama juru arah dan juga sahabat baiknya, Gareth ‘Jaffa’ Roberts. Pasangan berkenaan kemudiannya berlumba dalam S-WRC dan Kejohanan Rali Antara Benua (IRC) pada 2012.

Namun dalam kemalangan yang berlaku di IRC Targa Florio 2012, impian dua sahabat itu untuk bersama-sama melangkah ke kategori utama WRC tidak kesampaian apabila Roberts meninggal dunia di tempat duduk juru arah Peugeot 207 S2000 yang dipandu oleh Craig. Sejak dari kejadian tersebut, Craig mengabadikan nama “Jaffa” di helmet perlumbaannya.

Craig kemudiannya berjaya menempatkan diri dalam kategori utama dalam WRC selepas berjaya dipilih untuk menyertai skuad Citroën Abu Dhabi Total World Rally Team pada 2016. Dia kemudiannya menerima lamaran dari Hyundai Motorsport dan berlumba tiga musim iaitu bermula 2019 hingga 2021 untuk pasukan Korea Selatan yang berpangkalan di Alzenau, Jerman berkenaan.

Craig sekali lagi berpindah pasukan apabila dipilih sebagai pemandu utama pasukan M-Sport Ford untuk WRC musim 2022. Walau bagaimanapun, kontraknya ditamatkan pada penghujung musim tersebut kerana prestasi kurang memberangsangkan dan tempatnya dalam pasukan Ford diambil oleh Ott Tanak.

Pemandu WRC Hyundai, Craig Breen maut dalam kemalangan ketika sesi ujian pra-Rali Croatia 2023

2023 FIA World Rally Championship
Round 02, Rally Sweden
9-12 February 2023
Craig Breen, James Fulton,
Photographer: Dufour Fabien
Worldwide copyright: Hyundai Motorsport GmbH

Dia kemudiannya kembali ke Hyundai untuk musim ini sebagai pemandu jentera ketiga pasukan tersebut, berkongsi tempat dengan pemandu Sepanyol, Dani Sordo di mana kedua-duanya akan memandu jentera yang sama dalam pusingan-pusingan berlainan yang ditetapkan pasukan.

Dalam pusingan WRC Rali Sweden Februari lalu, Craig memberikan persembahan terbaiknya dengan hampir-hampir menewaskan Tanak – dan ia menjadi penampilan terakhirnya dalam pentas WRC. Dalam bulan yang sama, Craig Breen turut sempat menyampaikan sejumlah tunai untuk menaja kategori Junior 1000 dalam kejohanan rali Ireland untuk mencungkil bakat-bakat rali muda di negaranya.

Sepanjang kariernya dalam kategori utama WRC, Craig Breen telah memulakan 82 perlumbaan dengan mencapai sembilan podium (enam kali tempat kedua, tiga kali tempat ketiga) untuk tiga pasukan berbeza iaitu Citroën, Ford dan Hyundai. Kehilangan Breen pastinya akan dirasai oleh peminat-peminat rali di seluruh dunia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required