Honda Civic Type R FL5 rampas semula takhta kereta FWD produksi terpantas di Nürburgring; 7:44.881!

Honda Civic Type R FL5 rampas semula takhta kereta FWD produksi terpantas di Nürburgring; 7:44.881!

Honda Civic Type R kini secara rasmi dinobatkan semula sebagai kereta pacuan roda hadapan (FWD) produksi terpantas di litar “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife! Takhta berkenaan diserahkan semula ke Civic Type R selepas model generasi terbaharu FL5 mencatatkan masa 7 minit 44.881 pada litar sepanjang 20.832 km berkenaan 24 Mac lalu.

Ia sekaligus memadamkan rekod terpantas produksi FWD sebelum ini dengan masa 7 minit 45.39 saat (7:40.1 pada laluan 20.600 km yang lebih pendek) yang dicatatkan oleh Renault Mégane R.S. Trophy-R pada 2019. Ketika itu, Megane merampas gelaran tersebut dari Civic Type R FK8 yang dinobatkan sebagai model produksi FWD terpantas di Nürburgring dengan rekod 7:43.8 pada laluan 20.6 km pada 2017.

Bagi mencatatkan rekod terbaharu ini, Honda menggunakan versi produksi sebenar FL5. Tiada sebarang ubahsuai dibuat kecuali tayar standard Michelin Pilot Sport 4 S digantikan dengan tayar opsyen (ditawarkan pada pasaran seperti Amerika Syarikat) Michelin Pilot Sport Cup 2 Connect yang dihasilkan lebih fokus untuk kegunaan dalam litar.

Civic Type R FL5 ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam bentuk badan hatchback. Ia menerima kejuruteraan semula pada casis dengan diberikan suspensi lebih baik, badan lebih lebar bersama kit aero lebih agresif dan pelbagai lagi.

Model generasi baharu ini masih menerima enjin petrol 2.0 liter VTEC Turbo K20C1 seperti model generasi FK8 terdahalu, namun ditala semula bagi menghasilkan kuasa 330 PS (326 hp) pada 6,500 rpm dan 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm – 10 PS (10 hp) dan 20 Nm lebih berkuasa dari FK8.

Peningkatan kuasa ini dibuat menerusi kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien. Model baharu ini juga menerima injap aktif pada sistem ekzos yang memberikan operasi lebih baik pada Active Sound Control.

Selain itu, rekaan gril hadapan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8. FL5 masih lagi mengekalkan prinsip hanya dihasilkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, bagi memastikan ia dibeli oleh mereka yang betul-betul minat memandu.

Transmisi manual yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat menerusi roda tenaga yang lebih ringan, perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.

Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Honda Civic Type R ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 272 km/j.

“Kepada peminat Civic Type R kami di seluruh dunia: Di bawah konsep ‘Ultimate SPORT 2.0,’ kami membangunkan Civic Type R serba baharu dengan semangat ‘melampaui pencapaian masa lalu’ dan berusaha untuk menghasilkan kereta sport FWD yang sebenar dengan memperhalusi ‘nilai penting’ dan ‘daya tarikan emosi’ unik hanya untuk Type R kami” kata Ketua Pembangunan Civic Type R, Hideki Kakinuma.

“Sejak jualannya bermula di Jepun pada September 2022, kami telah menerima banyak maklum balas pelanggan dari seluruh dunia yang penuh dengan kekaguman dan kegembiraan, jauh melebihi jangkaan kami. Bagaimanapun, kami masih mempunyai satu lagi misi yang perlu dipenuhi, iaitu untuk merampas semula gelaran sebagai kereta FWD terpantas di dunia dengan catatan masa pusingan Nürburgring.

Honda Civic Type R FL5 rampas semula takhta kereta FWD produksi terpantas di Nürburgring; 7:44.881!

“Enam tahun selepas rekod pusingan dibuat oleh Civic Type R (FK8) generasi sebelumnya, kami mencapai dimensi baharu ini hasil daripada semua keghairahan yang kami curahkan dan semua kemajuan yang kami lakukan untuk model Type R ini. Akhirnya, hasrat kami untuk berkongsi tajuk ini dengan semua peminat Type R di seluruh dunia menjadi kenyataan.

“Kami amat berharap semua pemilik semasa dan bakal pemilik Type R akan menikmati dan menyukai kenderaan mereka dengan kebanggaan yang kami kongsikan dengan anda,” tambah Kakinuma-san.

Rekod yang dibuat oleh Civic Type R FL5 ini mungkin adalah rekod mutlak untuk model petrol penuh FWD produksi terpantas di litar berkenaan. Ini kerana Renault tidak lagi akan menghasilkan Megane R.S selepas produksinya tamat pada penghujung tahun ini dan ia akan digantikan dengan model berkuasa elektrik sepenuhnya (EV).

Tidak seperti FK8 yang diproduksi di United Kingdom sebelum ini, produksi FL8 sudah kembali ke Jepun kerana kilang Honda Swindon telahpun ditutup. Jadi semua unit FL8 untuk pasaran seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia dan ASEAN adalah dari kilang Yorii di Saitama, Jepun.

Seperti yang diumumkan oleh Honda Malaysia baru-baru ini, Honda Civic Type R FL5 turut akan dilancarkan di sini tahun ini. Melihat trend harga jualannya yang sememangnya lebih mahal dari model FK8 untuk setiap negara yang sudah dipasarkan, FL5 juga dijangka akan dijual lebih mahal di sini.

Namun ia mungkin tidak semahal di Indonesia (Rp 1,399,000,000 atau sekitar RM412k) dan Thailand (3,990,000 baht atau sekitar RM520k). Kita boleh ambil Toyota GR Corolla sebagai perbandingan – hot-hatch Toyota ini dilancarkan di Thailand pada November 2022 dan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500k), namun apabila ia tiba di Malaysia, UMW Toyota menjualnya pada harga RM355k. Jadi mungkin Honda Civic Type R ini akan dijual di Malaysia pada harga sekitar RM350k-RM360k?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required