BMW Malaysia, EV Connection perkenal Pengecas EV Bergerak pertama di Malaysia – 20 kWj, 15 kW DC

BMW Malaysia, EV Connection perkenal Pengecas EV Bergerak pertama di Malaysia – 20 kWj, 15 kW DC

BMW Group Malaysia bersama penyedia pengecas kenderaan elektrik tempatan iaitu EV Connection bekerjasama menghasilkan pengecas EV bergerak pertama di Malaysia. Kemudahan yang dibawa oleh sebuah van Nissan Vannete C22 dan dihasilkan menggunakan bateri EV dari model-model elektrik BMW dan MINI itu kini sedang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2023 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

Prototaip pengecas berkenaan menampilkan 16-unit modul bateri BMW yang digunakan semula dengan “tahap kesihatan” bateri kira-kira 70% untuk menyimpan kuasa, memberikan kapasiti mengecas sebanyak 20 kWj dan mampu menghasilkan sehingga 30 kVA dari kuasa AC tiga-fasa.

Difahamkan fasiliti yang dibawa oleh Nissan Vannette ini merupakan satu-satunya prototaip yang sudah boleh digunakan, manakala unit sebenar nanti akan dihasilkan menggunakan kenderaan dari jenama yang berbeza.

Untuk mengecas kenderaan, pengecas bergerak ini dilengkapi dengan pengecas DC 30kW tetapi telah dikecilkan kepada 15 kW bagi memanjangkan hayat bateri yang diletakkan pada bahagian belakang van berkenaan. Ini juga membolehkan kuasa yang dibekalkan cukup untuk mengecas dua EV, bagi membolehkan kedua-dua kenderaan yang dibantu berkenaan bergerak ke stesen cas sebenar terdekat.

Selain dari membantu mengecas EV yang “tersadai”, pengecas bergerak ini juga mampu untuk menjadi “powerbank gergasi” bagi membekalkan kuasa ke kawasan bencana yang tidak ada bekalan elektrik. Ia mampu untuk membekalkan kuasa sehingga lapan rumah pada kapasiti penuh.

Pengecas bergerak ini terhasil dari program “hayat kedua bateri” yang diinisiatifkan oleh BMW Group Malaysia. Sasaran program berkenaan adalah untuk menggunakan semula bateri EV yang sudah tidak dipakai bagi mengembangkan lagi kegunaan elektrifikasinya.

Menurut BMW Malaysia, usaha ini akan dikembangkan lagi kepada solusi voltan-tinggi bagi menyediakan kemudahan seperti hab pengecas urban, generator mudah alih untuk zon bencana dan juga elektrifikasi untuk kawasan pedalaman.

“Penggunaan semula bateri yang sudah tamat hayat dari kenderaan elektrik kami ini pada asasnya meletakkannya kembali ke tempatnya untuk terus berkhidmat kepada ekosistem EV, selepas ia melengkapkan kitaran hayatnya dalam kenderaan kami. Dengan cara ini nilai penting logam berharga yang ada dalam bateri kami dapat diiktiraf sebagai sumber terhad di Bumi, dan memanjangkan penggunaannya sebaik mungkin sebelum ia benar-benar tidak boleh digunakan,” kata ketua komunikasi korporat dan kelestarian BMW Group Malaysia Sashi Ambi .

“EV Connection berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif inovatif yang tidak pernah ada sebelum ini dengan jenama automotif yang dipercayai seperti BMW dalam pembangunan pengecas mudah alih ini. Adalah menjadi harapan kami bahawa kami akan dapat mengurangkan kebimbangan terhadap jarak pemanduan EV dan menyumbang ke arah memacu revolusi mobiliti elektrik di Malaysia,” kata pengarah teknikal EV Connection Che Hang Seng.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required