Pengeluar motosikal elektrik dari China iaitu Yadea telah mendedahkan sebuah model baru yang dipanggil sebagai F200 untuk pasaran Eropah. Bila waktu tepat ia akan dilancarkan masih belum diberitahu, tetapi beberapa perincian awal didedahkan bersama gambarnya.
Sebelum pergi ke bahagian teknikal, antara perkara paling menarik bagi Yadea F200 ini adalah bentuknya, yang diberitahu dibangunkan bersama dengan bahagian rekaan dari Porsche dan mendapat inspirasi daripada bentuk kereta sports.
Menurut Yadea, F200 boleh menghasilkan kuasa seperti motosikal berenjin pembakaran dalaman 125 cc, dengan kuasa datang daripada pek bateri berkembar dan motor elektrik 11 kW. Tork sehingga 236 Nm boleh dihasilkan sejak ia mula memecut, seterusnya membawa kepada laju maksimum 100 km/j. Jarak gerak dengan sekali cas penuh adalah 128 km.
Harga F200 masih belum didedah, tetapi kita boleh melihat ia dilengkapi dengan barangan seperti panel meter TFT, lampu LED, sistem tanpa kunci, brek cakera di hadapan, ruang simpanan yang boleh memuatkan helmet di bawah tempat duduk serta dua penyerap hentak di belakang.
Untuk negara kita, Yadea baru sahaja melantik pengedar rasminya, iaitu MForce Bike Holdings Sdn Bhd, dan mereka sudah membuat penampilan pertama melalui satu ruang pameran di Malaysia Autoshow. Pada waktu itu, beberapa model dipamerkan, dan model pertama dirancang akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran pada bulan ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.