Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

Selepas sekitar lapan bulan Ford Ranger Raptor generasi baharu dengan enjin petrol EcoBoost 3.0 liter V6 Twin Turbo diperkenalkan di Malaysia, kini tiba masa varian lebih mampu milik trak pikap prestasi berkenaan dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan – ini dia Ford Ranger Raptor 2023 dengan enjin 2.0L Turbodiesel!

Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM248,888 dan ia lebih murah berbanding versi petrol V6 yang dijual pada harga RM259,888. Sama seperti versi petrol, Ranger Raptor turbodiesel ini turut dilindungi waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km, yang mana sampai dulu.

Istimewa untuk 300 pelanggan pertama bagi Ranger Raptor Turbodiesel 2023 ini, pengedar Ford di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Connexion menawarkan pemasangan dashcam GPS tanpa wayar Kenwood DRV-A700W WQHD dual channel secara percuma, bersama diskaun RM500 untuk program Ford Ranger Gateway.

Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

Enjin yang dibekalkan pada Ranger Raptor diesel 2023 ini adalah sama dengan model generasi terdahulu, iaitu unit EcoBlue 2.0 liter empat silinder yang disuap dengan dua buah pengecas turbo. Ia menghasilkan kuasa 210 PS pada takat 3,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,750 hingga 2,000 rpm.

Sebagai perbandingan, versi yang dijana oleh enjin EcoBoost V6 menghasilkan kuasa maksima 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm. Model turbodiesel pasaran Malaysia ini juga sebenarnya hanya sedikit kurang berkuasa dari versi EcoBoost V6 pasaran Eropah yang hanya ditala menghasilkan 288 PS dan tork maksima 491 Nm kerana undang-undang emisi lebih ketat di benua berkenaan.

Versi dengan enjin Bi-turbodiesel ini juga, tidak diberikan sistem ekzos dengan injap aktif yang boleh mengawal bunyi. Jadi ia tidak ada mod Quiet yang memberikan bunyi enjin senyap dan juga bunyi lebih garang dan agresif pada mod Sport dan Baja – hanya bunyi sebuah enjin diesel biasa keluar dari corong ekzos.

Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

Kotak gear yang dibekalkan pada versi turbodiesel ini adalah sama dengan versi Ecoboost turbo dan model generasi terdahulu, iaitu transmisi automatik 10-kelajuan automatik dengan mod manual SelectShift. Ia turut menampilkan sistem pacuan 4X4 dengan gear 4A, 2H, 4H dan 4L, kesemuanya boleh ditukar ketika trak pikap ini sedang bergerak menerusi sistem Electronic Shift-On-the-Fly (ESOF).

Gandar belakang trak pikap ini diberikan differential yang boleh dikunci secara elektronik, tetapi tiada LSD diberikan pada gandar hadapan seperti model petrol Turbo V6. Manakala mod pemanduan untuk permukaan jalan tar dan off-road masih disertakan – tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Sport dan Slippery untuk jalan raya biasa, manakala untuk pemanduan off-road pula ia menampilkan mod Rock Crawl (cengkaman dan momentum maksima pada permukaan licin),Sand, Mud dan Ruts, serta mod “perlumbaan rali padang pasir” iaitu Baja.

Ranger Raptor turbodiesel ini juga masih berkongsi sistem suspensi yang hampir sama dengan versi EcoBoost V6. Berbanding Ranger biasa, suspensi untuk Ranger Raptor ini adalah direka semula sepenuhnya, menampilkan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox.

Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran. Walau bagaimanapun, penyerap hentak untuk versi diesel ini tidak diberikan injap aktif seperti pada model EcoBoost V6..

Dengan sistem Bottom-Out Control yang progresif dari Fox, Ranger Raptor kini lebih stabil pada permukaan jalan tar. Sistem berkenaan akan memberikan daya menyerap hentak maksimum pada bahagian pergerakan 25% terakhir suspensi berkenaan, dan dapat mengelakkan bahagian belakang menjadi mendap ketika melakukan pecutan mendadak.

Set roda untuk versi turbodiesel ini juga masih sama, menampilkan set rim 17-inci dan dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich KO2 bersaiz 285/70R17.

Pada sebelah luar agak sukar untuk membezakan rupa model diesel ini dengan model petrol V6. Ini kerana kedua-duanya menampilkan kit Raptor yang sama terdiri dari lampu hadapan dengan teknologi LED Matrix jalur LED berbentuk-C bersama fungsi auto levelling, cermin sisi kawalan berkuasa dengan lampu puddle tulisan “FORD” pada gril hadapan serta fender flare yang lebih lebar untuk setiap ruang roda.

Cara mudah untuk membezakan anatar model petrol dan diesel adalah pada bahagian tip ekzos – model V6 Ecoboost menampilkan dua tip ekzos yang keluar pada kira dan kanan, manakala model turbodiesel ini pula hanya diberikan tip ekzos tunggal pada sebelah kiri yang menghala ke bawah.

Perincian istimewa lain yang turut dipadankan pada Ranger Raptor ini termasuk lampu belakang LED, pemijak sisi aluminium dengan logo Raptor serta plat pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm.

Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

Plat pelindung berkenaan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada komponen penting seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, takung minyak pelincir enjin dan juga differential hadapan ketika ia meredah laluan lasak.

Perincian dalam kabin antara model diesel dengan petrol juga serupa di mana Ranger Raptor menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik.

Tempat duduk hadapan Ranger Raptor ini direka dengan inspirasi dari jet pejuang F22, dan ia boleh dilaras secara elektrik dengan 10-hala untuk bahagian pemandu, serta manual 10-hala pada bahagian penumpang hadapan. Trak pikap ini diberikan sistem pendingin hawa automatik dua-zon.

Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana serta empat slot pengecas USB dan pengecas tanpa wayar Q.

Bagi sistem keselamatan pula, Ranger Raptor 2023 petrol dan diesel pasaran Malaysia ini diberikan tujuh-beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, sistem brek ABS dengan EBD dan kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau tekanan angin tayar dan kamera pemantau 360-darjah.

Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan seperti cruise control adaptif dengan fungsi Stop & Go ketika trafik sesak, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran titik buta dengan amaran dan bantuan brek lintasan trafik belakang, bantuan brek mengundur, bantuan stereng untuk mengelak dan bantuan parkir aktif serta tujuh-beg udara.

Walaupun ia diiktiraf sebagai trak pikap prestasi, Ranger Raptor masih boleh berfungsi sebagai trak pikap yang digunakan untum membuat kerja. Oleh itu ia masih dibekalkan dengan, enam cangkuk untuk kotak kargo serta port kuasa 12V (maksimum 180 W) bersama plag tiga pin AC 230 V (400 W) di bed belakang.

Pelanggan boleh memilih Ranger Raptor ini dalam lima warna berbeza iaitu Code Orange, Absolute Black, Arctic White dan Conquer Grey. Menerusi model turbodiesel ini juga, Ranger Raptor 2023 kini diperkenalkan dengan warna Lightning Blue.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required