Kawasaki mengeluarkan satu varian edisi istimewa untuk Z900RS, yang dipanggil sebagai Yellow Ball Edition. Setakat ini diberitahu hanya untuk pasaran Jepun, model ini dikatakan dapat “menyerlahkan lagi perincian sedia ada pada motosikal.”
Keistimewaan Z900RS terletak pada penampilannya, bermula dengan tangki serta panel belakang yang menggunakan gabungan warna kuning dan hijau Candy, bersama beberapa lapisan kemasan akhir yang dibuat menggunakan teknik khas.
Kemudiannya, beberapa perincian khusus lain diberikan pada model keluaran istimewa ini, termasuk logo Kawasaki lama pada tangki, imej model Z1 yang menjadi inspirasi untuk Z900RS pada panel tepi, tempat duduk dibalut kulit berkualiti tinggi, pemegang tepi krom serta cop DOHC di bahagian tepi enjin.
Ciri teknikal lain model ini masih sama seperti Z900RS biasa, termasuk enjin, yang menggunakan unit empat silinder 848 cc yang mampu menghasilkan 111 hp pada 8,500 rpm dan 98.5 Nm tork pada 6,500 rpm bersama padanan kotak gear enam kelajuan yang dilengkapi klac slip and assist.
Dalam barisan Z900RS yang ditawarkan di Jepun, versi Yellow Ball Edition ini dijual pada harga 44,000 yen (RM1,456) lebih tinggi berbanding Z900RS Cafe, menjadi 1,562,000 yen (RM51,702), manakala versi paling tinggi adalah Z900RS SE, yang berharga 1,705,000 yen (RM56,435).
Di Malaysia, Z900RS dijual dalam versi yang diimport sepenuhnya dari Jepun, pada harga RM63,800.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.