Volvo Trucks Malaysia lancarkan prime mover tugas berat EV — FH, FM, FMX; 300 km, anggaran RM2 juta

Volvo Trucks Malaysia lancarkan prime mover tugas berat EV — FH, FM, FMX; 300 km, anggaran RM2 juta

Volvo Trucks Malaysia telah melancarkan barisan prime mover elektriknya untuk pasaran Malaysia. Ini terdiri daripada model FH, FM dan FMX.

Pelancaran ini turut menandakan penampilan pertama barisan prime mover EV itu di Asia Tenggara, dan Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini yang menerima model FH Electric, FM Electric dan FMX Electric. Syarikat penyedia perkhidmatan logistik bersepadu tempatan, Swift Haulage Berhad menjadi yang pertama pelanggan model prime mover elektrik ini.

Barisan trak ini dikuasakan oleh penjana elektrik yang terdiri daripada dua atau tiga motor, menghasilkan sehingga 490 kW (666 PS) dan 2,400 Nm tork bergantung kepada penggunaannya, dengan kapasiti bateri adalah dari 180 kWh hingga 540 kWh dengan antara dua hingga enam pek bateri.

Transmisi pula menggunakan kotak gear I-Shift 12-kelajuan — sama seperti trak enjin biasa Volvo yang lain — untuk semua model yang dinyatakan. Aplikasi power take-off (PTO) bagi ketiga-tiga model berkenaan boleh melalui cara mekanikal, elektromekanikal atau elektrik.

Volvo Truck menyatakan ujian berasingan mendapati FH Electric mampu menggunakan kurang separuh tenaga berbanding model setara FH dengan enjin diesel, dalam keadaan pemanduan yang sama.

Konfigurasi gandar yang ditawarkan termasuk 4×2, 6×2 dan 6×4. Semua model ini menampilkan tetapan gandar gantungan udara. Model FH Electric, FM Electric dan FMX Electric juga menggunakan rekaan kabin aerodinamik untuk mengurangkan rintangan angin dan sekaligus mengoptimumkan jarak baterinya. Model elektrik ini boleh dibezakan dari model biasa melalui lampu LED bentuk V yang digunakannya.

Di dalam, prime mover Volvo elektrik ini dilengkapi ciri Dynamic Steering untuk bantuan tambahan aspek kendaliannya, dengan tersedia paparan 12-inci digital dengan bingkai krom dan lampu halo untuk memudahkan lagi penglihatan dan mempertingkat keselamatan.

Ini disertai juga oleh paparan sisi sembilan-inci yang bertindak sebagai hub maklumat sistem kenderaan, yang boleh dikawal oleh pemandu melalui gabungan butang dan kawalan sentuhan di stereng, membolehkan pemandu tetap menumpukan perhatian terhadap pemanduan dengan selamat dan tetap berinteraksi dengan sistem kenderaan dengan mudah.

Antara ciri keselamatan yang ada termasuk sokongan penghindaran perlanggaran sisi, seperti juga peninjau titik buta; ini menggunakan radar untuk meninjau kawasan dan persekitaran yang dimaksudkan.

Untuk harga, tiada harga permulaan yang dinyatakan, memandangkan untuk trak seperti ini, semuanya bergantung kepada ubah suai yang dingin dilakukan oleh pelanggan, menjadikan harganya sukar untuk ditentukan begitu sahaja. Namun, anggaran umum bagi Volvo FM Electric dengan enam pek bateri akan berada di sekitar RM2 juta.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required