Apabila bercakap tentang Volvo, jenama automotif dari Sweden berkenaan sering dikaitkan dengan model-model wagon dan SUV yang cantik. Namun dalam era peralihan kepada kuasa janaan elektrik penuh ini, Volvo bakal tampil dengan model MPV pertamanya tidak lagi.
Unit ujian MPV Volvo berkenaan telah pun dijumpai di China dan imej berkenaan disiarkan oleh CarNewsChina. Ia adalah MPV EV selari dengan halatuju Volvo yang kini hanya memperkenalkan model-model serba baharu dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh.
Menurut CarNewsChina, model ini bakal membuat kemunculan sulungnya pada suku ketiga tahun ini, dan jualannya akan bermula pada suku keempat. Berdasarkan rupanya, MPV Volvo ini mungkin kembar kepada Zeekr 009, iaitu MPV keluaran satu lagi divisi EV premium Geely iaitu Zeekr.
Dapat dilihat bentuk cermin hadapan, cermin suku pada tiang-A, cermin-cermin tingkap sisi serta garis bahu pada tiang-C MPV Volvo ini adalah seiras Zeekr 009. Manakala berdasarkan lampu hadapan yang direka seperti Volvo EX30 dan EX90, MPV ini mungkin akan menerima muka unik Volvo yang berbeza dari Zeekr 009.
Zeekr 009 dihasilkan menerusi platform Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely, iaitu platform yang dibangunkan khusus untuk EV yang akan digunakan untuk semua jenama di bawah kumpulan automotif tersebur. Antara model lain yang telah pun menggunakan platform berkenaan termasuk EV shooting brake Zeekr 001, crossover kompak smart #1, SUV berprestasi Lotus Eletre, trak pikap EV Radar RD6 dan pelbagai lagi.
Ia menampilkan dimensi panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm. Jadi saiz MPV dari Zeekr ini jelas lebih besar dari Alphard dan Vellfire kerana model keluaran Toyota berkenaan hanya dihasilkan dengan dimensi panjang 4,995 mm, lebar 1,850 mm serta jarak roda 3,000 mm.
CarNewsChina turut melaporkan bahawa MPV Volvo ini akan menerima tujuh tempat duduk yang disusun dengan konfigurasi 2-2-3. Ia berbeza dengan Zeekr 009 kerana ia hanya diberikan enam tempat duduk dengan susunan 2-2-2 serta ditawarkan dengan opsyen VIP yang menampilkan tempat duduk kapten pada baris kedua.
Maklumat sistem rangkaian kuasa untuk MPV Volvo ini juga belum terdedah. Untuk Zeekr 009, ia ditawarkan dalam dua varian berbeza iaitu Zeekr 009 WE dengan bateri 116 kWj dan juga Zeekr 009 ME yang menerima bateri 140 kWj.
Kedua-dua varian tersebut menerima unit penggerak yang sama iaitu dua motor elektrik yang diletak masing-masing di gandar hadapan dan belakang menjadikannya MPV pacuan semua roda, dengan kuasa keseluruhan 544 hp dan tork maksima 686 Nm. Ini membolehkan MPV bersaiz besar tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat.
Kedua-dua varian itu juga menerima pek bateri litium-nikel-mangan-kobalt yang dibekalkan oleh CATL, membolehkan versi 116 kWj bergerak sejauh 702 km (mengikut kitaran CLTC), manakala model dengan bateri 140 kWj pula boleh bergerak sejauh 822 km dengan satu cas penuh. Perincian berkenaan pengecas tidak didedahkan, namun ada dinyatakan dengan pengecas pantas, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% hanya dalam 28 minit.
GALERI: Zeekr 009 pasaran China
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.