Geely Radar RD6 didedah – trak pikap elektrik saiz Hilux, kuasa sehingga 400 hp, jarak gerak 600 km

Geely Radar RD6 didedah – trak pikap elektrik saiz Hilux, kuasa sehingga 400 hp, jarak gerak 600 km

Gergasi automotif China, Geely Auto Group telah pun memperkenalkan satu lagi sub-jenama di bawahnya diberi nama Radar Auto. Cabang baharu ini disifatkan sebagai jenama kenderaan elektrik penuh (EV) gaya hidup outdoor, dan ini dia produk pertama mereka – trak pikap EV Radar RD6.

Trak pikap ini dihasilkan berasaskan platform modular untuk kenderaan elektrik terbaharu dari Geely iaitu Sustainable Experience Architecture (SEA). Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, platform SEA berkenaan mampu menghasilkan pelbagai kenderaan dari saiz sekecil segmen-A sehingga model mewah segmen-F, dan juga model lain seperti kereta sport dan juga kenderaan komersil. Ia sebelum ini sudah pun digunakan pada Shooting Brake EV Zeekr 001 dan juga kereta kompak Smart #1, membuktikan versatiliti platform tersebut.

Untuk trak pikap Radar RD6 ini, ia bakal ditawarkan dalam versi motor tunggal dan motor berkembar. Spesifikasi teknikal rasminya masih belum diumumkan, namum laporan dari CarNewsChina menyebut bahawa RD6 bakal ditawarkan dengan kuasa sekitar 200 hp hingga hampir 400 hp, dengan jarak gerak sehingga 600 km.

Geely Radar RD6 didedah – trak pikap elektrik saiz Hilux, kuasa sehingga 400 hp, jarak gerak 600 km

Dimensi untuk RD6 ini juga belum diumumkan, tetapi berdasarkan foto yang telah disiarkan, ia adalah trak pikap dengan saiz seperti Toyota Hilux/Ford Ranger/Mitsubishi Triton. Sesuai dengan statusnya sebagai trak pikap EV, RD6 diberikan muka yang futuristik menampilkan bar lampu merentangi sepenuhnya gril hadapan, bersambung dengan jalur LED lampu nyalaan siang yang bersepadu dengan lampu utama.

Manakala pada bampar, ia diberikan dua liang udara sisi palsu dengan rekaan tipikal model-model Geely lain (juga seiras dengan rekaan liang udara Geely Boyue/Proton X70), serta diberikan liang udara tengah yang nipis pada bahagian bawah. Imej lasak diserlahkan dengan skid plate pada dasar bampar berkenaan.

Tulisan “RADAR” diletakkan pada penghujung bonet depan trak pikap ini dengan gaya ala-Range Rover. Lencana yang sama turut diletakkan pada bahagian kedua-dua pintu hadapan.

Pada bahagian sisi, RD6 ini menampilkan rekaan yang ringkas dengan bahagian perumah roda dijelaskan menerusi garis lekuk di atasnya, sementara port mengecas diletakkan pada sebelah sisi kanan bed belakang. Tidak seperti trak pikap lain yang cenderung diberikan lampu belakang menegak, RD6 ini nampaknya diberikan lampu belakang tirus melintang dengan konfigurasi “2-piece”.

Terdapat juga port pada bed belakang yang membolehkan RD6 ini berfungsi sebagai “powerbank gergasi” bagi mengoperasikan pelbagai kelengkapan elektrik untuk berkerja dan berkhemah. Masih tiada sebarang imej bahagian dalaman RD6 ini disiarkan, tetapi dari luar boleh dilihat papan pemukanya diberikan skrin paparan instrumen untuk pemandu dan juga skrin utama di bahagian tengah untuk sistem infotainmen.

Radar Auto mempunyai fasiliti penyelidikan dan pembangunannya sendiri di Hangzhao, dan kilangnya terletak di Zibo, Shandong. Produksi RD6 ini akan bermula pada suku keempat tahun ini, namun Geely masih belum membuat sebarang pengesahan adakah Radar turut akan dipasarkan di luar China atau tidak.

Selain dari RD6, Radar turut menawarkan portfolio penuh untuk kenderaan gaya hidup elektrik yang lain seperti SUV, ATV dan “produk gaya hidup” lain. Radar Auto kini diterajui oleh CEOnya, Lin Shi Quan iaitu ketua kejuruteraan senior di Geey Auto Group dan pernah berkhidmat di Lynk & Co dan Geely Auto.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required