Mengguna jalanraya yang memberhentikan kenderaan mereka melepasi garisan putih di lampu isyarat boleh dikenakan denda RM2,000 atau dipenjara enam bulan, menurut amaran yang dikeluarkan oleh polis yang sedang menjalankan Ops Garisan Putih untuk menangkap pengguna lalulintas yang melakukan kesalahan tersebut, lapor The Star.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Bukit Aman, DCP Datuk Mohd Nasri Omar, pengguna tidak boleh melepasi garisan putih dan menghalang laluan pejalan kaki ketika berhenti di lampu isyarat, mengikut Fasal 38, Peraturan Lalulintas Jalan (LN166/1959).
“Peraturan tersebut menyatakan yang kenderaan tidak boleh membiarkan kenderaan mereka, atau sebahagian daripadanya, berhenti di kawasan pejalan kaki melainkan mereka dihalang daripada bergerak disebabkan keadaan yang bukan dalam kawalan mereka untuk mengelak kemalangan,” ujar Mohd Nasri.
“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak lebih daripada enam bulan,” tambah beliau, dan menjelaskan yang kesalahan itu akan menyebabkan kesesakan, malahan ada juga yang menyebabkan kemalangan.
Pada 28 Julai lalu, JSPT Bukit Aman mengumumkan pelaksanaan enam operasi khas untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya. Operasi berkenaan disasarkan untuk menangkap pesalah di lampu isyarat, nombor plat tidak sah, menghalang lalu lintas dan parkir haram.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.