Toyota perincikan sistem 48-volt mild hybrid enjin diesel untuk Hilux, Land Cruiser Prado dan Fortuner

Toyota perincikan sistem 48-volt <em>mild hybrid</em> enjin diesel untuk Hilux, Land Cruiser Prado dan Fortuner

Toyota telah mengeluarkan satu video baru untuk memperincikan sistem 48-volt mild hybrid yang akan digunakan untuk enjin turbodiesel keluaran syarikat itu, dengan Hilux dan Land Cruiser Prado dijangka menjadi model terawal ditawarkan dengan teknologi tersebut. Kemungkinannya Fortuner juga akan memanfaatkan sistem yang sama.

Walaupun tidak ditampilkan secara jelas dalam video, Toyota pernah menyatakan yang enjin 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder sebaris dalam Land Cruiser Prado akan dilengkapi dengan sistem 48-volt mild hybrid untuk pasaran terpilih di Eropah Barat serta Australia. Enjin sama turut digunakan oleh Hilux dan Fortuner ketika ini, dengan Toyota mendakwa akan memberikan 10% lebih penjimatan dengan elektrifikasi tersebut.

Sistem mild hybrid yang dibangunkan oleh Toyota adalah sama seperti pengeluar lain dan terdiri daripada tiga komponen utama, termasuk generator-motor elektrik pacuan tali sawat yang menggantikan altenator biasa, satu bateri 48-volt dan pengubah DC-DC.

Pengeluar Jepun itu turut menunjukkan perbezaan antara sistem mild hybrid dengan Toyota Hybrid System II (THS II), dengan yang kedua ini menggunakan dua generator-motor dan sebuah peranti pengasingan kuasa. Tetapan untuk mild hybrid lebih kompak dan ringan, dan boleh dimuatkan ke dalam sistem janaan sedia ada.

Generator-motor elektrik pacuan tali sawat mampu memberikan lebih tork berbanding penghidup pacuan gear konvensional, dengan Toyota mendakwa bahawa sistem mild hybrid membolehkan penghidup semula enjin yang lebih senyap dengan respon lancar dan gegaran yang minimum ketika menggunakan fungsi Start/Stop.

Motor elektrik tersebut juga memberikan bantuan tork ketika diperlukan, sementara janaan semula tenaga ketika membrek membekalkan semula tenaga kepada bateri, yang boleh digunakan untuk dijadikan sumber kuasa bantuan untuk sistem stereng, pam dan kipas.

Sistem mild hibrid tersebut juga dibangunkan dengan struktur yang membolehkan lintasan air, yang melibatkan pengukuhan komponen dan rekaan tataletak untuk kalis air. Ini termasuk menggunakan tali sawat yang lebih kukuh untuk meminimumkan kehilangan akibat geseran ketika tenggelam dalam air, serta kedudukan strategik komponen mild hybrid di dalam kabin. Toyota mendakwa kemampuan meredah air untuk kenderaan dengan sistem ini adalah sehingga 700 mm, yang sangat berguna untuk model seperti Hilux dan Land Cruiser Prado dan Fortuner.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required