Porsche Cayenne facelift 2024 sudah boleh ditempah di Malaysia – ‘buatan Kulim’, bermula RM599,999

Porsche Cayenne facelift 2024 sudah boleh ditempah di Malaysia – ‘buatan Kulim’, bermula RM599,999

Porsche Malaysia mengumumkan bahawa model facelift 2024 untuk SUV Porsche Cayenne kini sudah pun boleh ditempah oleh pelanggan bagi pasaran tempatan. Model tersebut adalah versi dipasang secara tempatan (CKD) menerusi fasiliti Sime Darby di Kulim, Kedah (yang juga merupakan fasiliti pertama Porsche di luar Jerman), dengan harga bermula RM599,999.

“Dengan salah satu tingkat taraf produk yang paling ekstensif dalam sejarah Porsche, kami tidak sabar untuk menunaikan lebih banyak impian kereta sport di Malaysia dalam masa yang sama menyediakan yang terbaik dari segi kualiti, prestasi, dan juga pengalaman pemanduan secara keseluruhan dengan Cayenne pemasangan tempatan,” kata CEO Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter.

Porsche Cayenne facelift 2024 ini dijana oleh enjin petrol v6 3.0 liter turbo yang menghasilkan kuasa 355 PS dan tork maksima 500 Nm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dan sistem pacuan semua roda.

Porsche Cayenne facelift 2024 sudah boleh ditempah di Malaysia – ‘buatan Kulim’, bermula RM599,999

Antara perincian standard yang dibekalkan bagi model pasaran Malaysia ini termasuk cruise control adaptif, pintu yang ditutup secara lembut dan juga pakej Sport Chrono – kesemua perincian ini merupakan ciri opsyen untuk pasaran lain.

Ia juga datang standard dengan lampu hadapan LED matrix, suspensi adaptif PASM, Power Steering Plus, rim aloi Cayenne Design berdiameter 20-inci, serta Park Assist untuk hadapan dan belakang bersama fungsi Surround View.

Pada sebelah dalam model facelift ini diberikan sedikit perubahan di mana tombol gear telah dialih ke bahagian papan pemuka bagi memberikan ruang storan yang lebih dan panel kawalan sistem pendingin hawa pada konsol tengah. Pemandu diberikan panel instrumen digital dengan skrin lengkung 12.6-inci, manakala sistem infotainmen pula hadir dengan skrin 12.3-inci PCM Display.

Untuk kelengkapan kabin, Cayenne facelift ini dilengkapi dengan tempat duduk hadapan comfort dengan larasan elektrik 14-hala bersama fungsi memori, serta logo Porsche yang dicetak pada perehat kepala. Ia juga menerima pelindung matahari kawalan elektrik untuk tingkap belakang, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W dan juga sistem bunyi surround dari Bose.

Untuk pelanggan yang mahukan lebih lagi, model facelift CKD ini turut ditawarkan dengan perincian lain yang boleh dipilih dari katalog Porsche Tequipment, antaranya rim aloi Cayenne Exclusive Design 21-inci dan Sport Design 22-inci, sistem infotaimen tambahan untuk penumpang belakang dan lain-lain.

Tempahan untuk Porsche Cayenne facelift 2024 CKD ini (dan juga model-model Porsche yang lain) boleh dibuat menerusi platform digital jenama berkenaan. 250 pelanggan pertama yang meletakkan tempahan mereka akan menerima kunci yang datang menampilkan warna yang sama dengan warna badan SUV mereka.

Seperti sebelum ini, varian-varian lain Porsche Cayenne iaitu Cayenne E-Hybrid, Cayenne S, dan Cayenne Turbo E-Hybrid masih ditawarkan dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required