Kia Carnival 11-tempat duduk bakal ditawarkan sebagai model CKD, kata pengedar – jangkaan RM218k

Kia Carnival 11-tempat duduk bakal ditawarkan sebagai model CKD, kata pengedar – jangkaan RM218k

Setakat ini, untuk pasaran Malaysia, Kia Carnival ditawarkan dengan model pemasangan tempatan (CKD) bagi versi 7- dan 8-tempat duduk dan import sepenuhnya (CBU) pula untuk 11-tempat duduk. Bagi versi CBU, ia diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Januari 2022, manakala untuk CKD pula dilancarkan pada Julai tahun yang sama.

Walau bagaimana pun, kami menerima perkhabaran bahawa Kia Malaysia bakal memperkenalkan semula Carnival 11-tempat duduk tetapi dengan versi CKD tidak lama lagi, dan beberapa wakil pengedarnya telah mula menerima pra-tempahan. Menurut beberapa posting di laman media sosial, versi CKD bagi Carnival 11-tempat duduk ini dijangka ditawarkan dengan harga sekitar RM218,000.

Buat masa ini, Carnival 11-tempat duduk versi CBU dijual pada harga atas jalan RM199,840.80 tanpa insurans, dan dengan harga jangkaan pada wakil pengedar ini, nampaknya ada kenaikan harga sebanyak RM18k. Walau bagaimana pun, harga jangkaan Carnival 11-tempat duduk CKD itu lebih rendah berbanding varian CKD yang lain, yang ditawarkan dari RM233,528,80 hingga RM261,228.80.

Kia Carnival 11-tempat duduk bakal ditawarkan sebagai model CKD, kata pengedar – jangkaan RM218k

Perbezaan harga antara versi CKD dan CBU adalah disebabkan perubahan spesifikasi, yang buat masa ini masih belum dipastikan, namun menurut wakil pengedar, cirinya masih akan lebih kurang sama. Alasan lain yang membabitkan perbezaan harga kerana kos bagi pemasangan tempatan agak tinggi, menurut wakil pengedar yang memaklumkannya kepada kami.

Carnival 11-tempat duduk ini memiliki bentangan 2-3-3-3, dengan dua barisan tempat duduk kedua yang hanya dilengkapi dengan cagak tenmpat duduk kanak-kanak ISOFIX. Manakala tempat duduk kecil untuk barisan kedua- dan ketiga pula hanya untuk kegunaan sementara, tetapi masih dilengkapi tali pinggang keledar, boleh dilipatkan untuk memberikan akses laluan di bahagian tengah.

Carnival 11-tempat duduk CBU buat masa ini diberikan enjin yang sama dengan versi CKD, dengan enjin Smartstream D2.2 empat-silinder turbodiesel yang mampu memberikan kuasa 202 PS (199 hp) dan tork 404 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

Senarai kelengkapannya termasuklah roda aloi 18-inci, lampu utama dwi-LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, lampu belakang dan lampu kabus belakang jenis mentol, bilah pengelap cermin, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, dwi-pintu gelangsar kuasa, penderia parkir hadapan dan belakang, paparan kluster instrumen TFT LCD 4.2-inci, kawalan suhu tiga-zon (dua di hadapan dan satu di belakang), pad pengecasan telefon tanpa wayar serta sistem infotainmen skrin sesentuh 12.3-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay.

Untuk bantuan pemandu dan keselamatam, MPV import sepenuhnya diberikan tujuh beg udara, AS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, kawalan brek pelbagai-pelanggaran, bantuan mula mendaki, penahan auto brek (bekerjasama dengan brek parkir elektronik), kepekaan penumpang belakang, bantuan keluar selamat, amaran pelanggaran titik buta dan pengelak pelanggaran trafik lintasan belakang. Sama seperti CKD 2.2D 8-tempat duduk Mid, 11-tempat duduk CBU ini juga tidak diberikan brek kecemasan sendiri.

Carnival 11-tempat duduk CKD dikatakan bakal ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Astra Blue, Jet Black, Snowflake White Pearl dan Meteor Grey. Tidak seperti versi CKD tujuh- dan lapan-tempat duduk yang mempunyai lima pilihan warna luaran termasuk Sonic Silver.

GALERI: Kia Carnival 11-tempat duduk CBU 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required