Antara perkara awal berkaitan automotif yang disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024 ialah bahan api diesel — yang antara lain berdepan dengan masalah ketirisan yang serius sejak dulu lagi. Ketika ini, harga subsidi yang ditetapkan untuk diesel ialah RM2.15 seliter berbanding harga pasaran semasa RM3.75 seliter untuk pengguna persendirian.
Dalam keadaan ini, kerajaan menanggung sebanyak RM1.60 seliter subsidi, dan sekitar RM1.5 bilion ringgit secara keseluruhannya. Apa yang menjadi masalah, menurut PMX ialah, ketirisan kerana subsidi berkenaan bukannya dinikmati oleh pihak dan kelompok yang sepatutnya.
“Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang tiga peratus. Ini bermakna, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang terlalu murah,” ujar PMX dalam pembentangannya.
“Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, Kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa. Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan. Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ia dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.