Minggu lalu telah terdedah sepenuhnya imej sedan pengganti Preve iaitu Proton S70 dalam versi varian paling tinggi yang dilihat sedang membuat penggambaran iklan. Dan set imej yang anda lihat dihantar oleh pembaca yang enggan dikenali ini mungkin S70 dalam versi varian paling asas berdasarkan beberapa perincian yang boleh dilihat.
Pertama sekali, dua unit yang berwarna perak ini dipadankan dengan gril hadapan dengan corak infinite weave, iaitu corak ukiran rumah tradisional melayu seperti pada rekaan Proton X50 dan X70. Ia berbeza dengan varian paling tinggi S70 yang sebelum ini dilihat mengenakan gril yang nampak lebih mewah dengan motif pin krom atau corak kain songket seperti pada Proton X90.
Kemudian dapat dilihat juga model varian paling asas ini diberikan lampu hadapan jenis projektor, berbanding varian tertinggi yang menerima lampu hadapan jenis LED penuh. Selain itu, S70 yang mungkin dalam versi paling murah ini juga dilihat hadir tanpa kit badan, mengenakan rim aloi berdiameter lebih kecil bersama tayar dengan profil lebih tebal, serta masih menerima penderia parkir pada sebelah hadapan.
Dijangkakan kesemua varian S70 ini akan dijana oleh unit rangkaian kuasa yang menampilkan enjin petrol 1.5 liter tiga silinder turbo yang digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan. Namun ada kemungkinan varian paling tinggi akan dijana oleh enjin yang dilengkapi sistem suntikan bahan api terus (GDi) dan varian lebih rendah hanya diberikan sistem suntikan bahan api biasa pada port (PFi) seperti pada Proton X50.
Pada SUV segmen-C tersebut, enjin T-GDi pada varian tertinggi Flagship mampu menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm, manakala enjin turbo PFI yang dipadankan pada varian premium dan ke bawah mampu menghasilkan 150 PS dan tork maksima 226 Nm. Walau bagaimanapun angka kuasa dengan sistem PFI ini masih lebih tinggi berbanding kembar S70 di China dan Filipina iaitu Geely Emgrand yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA bersama kotak gear CVT.
Di Filipina, Emgrand merupakan sedan segmen-B yang bersaing dengan model seperti Honda City dan juga Toyota Vios. Namun dengan saiz yang menghampiri sedan segmen-C, Proton nampaknya menghasilkan S70 bagi menggantikan tempat Preve untuk bertanding terus dengan Honda Civic dan Toyota Corolla.
Mengambil saiz Emgrand sebagai rujukan, sedan baharu Proton yang dijual satu tangga lebih tinggi dari sedan segmen-B Persona ini menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, S70 hanya 40 mm lebih pendek tetapi 18 mm lebih lebar, bersama jarak roda yang sepenuhnya sama dengan Proton Preve.
Bagi membolehkan ia bertanding dalam kelas segmen-C, sebab itulah ia menggunakan nama S70 dan bukan S50 serta menerima enjin dengan pengecas turbo. Malah bagi S70 dalam varian lebih tinggi, ia turut akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang turut tidak disertakan pada Emgrand di China dan Filipina.
Kami juga menjangkakan S70 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.
Dengan Proton X50 yang kini dijual pada harga RM86k hingga RM113k, boleh jadi S70 dalam varian paling asas ini akan dijual bermula RM70k? Apa pun, tak lama dah kita perlu tunggu kerana model ini bakal dilancarkan secara rasmi bulan hadapan!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.