Produksi Proton S70 bermula, tempahan dibuka – 1.5L Turbo, transmisi 7DCT, sedan segmen-C ganti Preve

Produksi Proton S70 bermula, tempahan dibuka – 1.5L Turbo, transmisi 7DCT, sedan segmen-C ganti Preve

Ini dia berita rasmi pertama dari Proton untuk sedan baharunya sudah tiba – Proton hari ini mengesahkan model berkenaan diberi nama sebagai Proton S70 iaitu sedan segmen-C untuk berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla Altis, dan tempahannya sudah mula dibuka!

Produksi S70 di kilang Tanjung Malim kini juga sudah bermula dengan upacara perasmian barisan produksi sudahpun di disempurnakan oleh Setiausaha Agung Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Perindustrian (MITI), Dato’ Hairil Yahri Yaacob.

Menurut Proton, S70 akan dijual dengan tagline “Intelligence that Evolves”, dan pelanggan yang berminat sudah boleh ke bilik-bilik pameran Proton di seluruh negara untuk menempahnya dengan bayaran deposit RM500. Walau bagaimanapun senarai varian yang ditawarkan dan juga harga masih belum diumumkan.

Apa yang pasti, Proton telah mengesahkan bahawa S70 dijana oleh enjin 1.5 liter turbo dan digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT, serta pelbagai sistem bantuan pemanduan.

Kemaskini:
Kami sudahpun menerima maklumat berkenaan varian-varian untuk S70 ini, dan anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

Produksi Proton S70 bermula, tempahan dibuka – 1.5L Turbo, transmisi 7DCT, sedan segmen-C ganti Preve

“Kami mempunyai harapan tinggi bahawa ia akan menjadi popular di kalangan peminat Proton sedia ada dan yang baru, serta membantu kami kembali ke puncak segmen pasaran yang sebelum ini dipimpin oleh model seperti Proton Wira, Waja, dan Prevé,” kata CEO Proton, Dr. Li Chunrong.

Model ini dijangka akan dilancarkan pada bulan ini, dan sebelum ia pelancaran rasminya Proton akan mengadakan sesi pra-tonton di beberapa ibu negeri utama di Malaysia bermula dari 11 November 2023 bagi membolehkan pelanggan yang berminat melihatnya secara lebih dekat.

Proton S70 ini merupakan model keempat yang dihasilkan oleh Proton bersama Geely selepas X70, X50 dan X90. Seperti diketahui, ia diasaskan dari Geely Emgrand yang sudahpun dijual dipasaran China dan Filipina, dan menerusi perincian yang disahkan oleh Proton hari ini, S70 nampak memang dihasilkan dengan spesifikasi lebih tinggi dari Emgrand.

Ini kerana Emgrand hanya menerima enjin 1.5 liter NA dan juga kotak gear CVT, berbanding S70 yang menerima enjin turbo dan transmisi DCT. Emgrand juga tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemanduan termaju. Namun Proton masih belum mengesahkan enjin 1.5 Turbo berkenaan dari versi T-GDi atau PFI.

Produksi Proton S70 bermula, tempahan dibuka – 1.5L Turbo, transmisi 7DCT, sedan segmen-C ganti Preve

Pada X50, enjin 1.5 tiga-silinder turbo dengan sistem T-GDi yang diberikan pada varian Flagship menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm, manakala enjin 1.5 Turbo PFI bagi varian Premium dan ke bawah menghasilkan 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

S70 diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) yang sama seperti X50. Berdasarkan spesifikasi Emgrand, dimensi S70 ini adalah 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, S70 hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton sebelum ini iaitu Proton Preve.

Menerusi imej rasmi yang disiarkan, S70 ini nampaknya menerima gril hadapan dengan elemen rekaan kain songket seperti X90, dan diberikan perincian seperti paparan instrumen digital, bumbung suria dan sebagainya. Setakat ini apa pendapat anda berkenaan Proton S70 ini? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau pada media-media sosial kami.

GALERI: Pilihan warna Proton S70 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required