Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia bakal melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) bermula 1 Mei ini, pada kadar 5% hingga 10%. Pelaksanaan cukai terbabit melalui penggubalan perundangan baharu membolehkan golongan berkemampuan tinggi menyumbang kembali kepada negara melalui pembelian barangan mewah.
Walau bagaimana pun, ia akan dikenakan ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam berdasarkan nilai ambang harga barangan seperti yang disebutkan oleh Anwar sebelum ini. Namun begitu, HVGT juga akan dilaksanakan ke atas pembelian jet peribadi, kapal layar, dan kenderan mewah, seperti yang dilaporkan oleh The Star. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong, garis panduan mengenai pelaksanaan cukai ini berdasarkan ambang harga akan dikeluarkan oleh kementeriannya.
Buat masa ini, kemungkinan barangan mewah seperti barang kemas bernilai lebih RM10,000, jam berharga lebih RM20,000 bakal dikenakan cukai HVGT antara 5% hingga 10%. Tetapi tidak dipastikan adakah kenderaan mewah juga akan menerima cukai tambahan pada kadar yang disebut itu.
Mungkin pengiraan bagi kenderaan mewah begini, contohnya, harga asasnya RM200k, jadi mungkin dengan cukai tambahan 5% (contoh sahaja….), maka harganya akan menjadi RM10k lebih mahal. Jika HVGT yang dikenakan sebanyak 10%, maka tambahan harga menjadi RM20k. Kalau kenderaan tersebut bernilai RM500k, harganya akan menjadi lebih RM25k jika cukai yang dikenakan 5%, atau lebih RM50k jika 10%. Walaupun ini semua pengiraan peratusan yang mudah, ia pasti akan memberi kesan kepada pembeli kereta lebih RM200k, bukan?
Walaupun begitu, beberapa model popular sudah mempunyai senarai menunggu yang panjang yang melepasi tarikh akhir 1 Mei, jadi kenaikan harga ini mungkin sudah dikenakan kepada pelanggan yang membuat tempahan baharu sekarang. Walaupun untuk model tanpa masa menunggu yang begitu lama, adakah cukai yang akan dilaksanakan ini akan menyebabkan satu lagi fenomena tempahan tergesa-gesa seperti ‘cuti cukai SST’ sebelum ini?
Tidak mungkin kerajaan akan melanjutkan atau menyerap perbezaan cukai melepasi tarikh pelaksanaan seperti yang dilakukan pada ‘cuti SST’ sebelum ini, memandangkan HVGT bertujuan untuk “mencukai mereka yang berkemampuan.”
Juga, adakah cukai ini juga terpakai untuk pembelian EV, yang hampir dijual tanpa cukai di Malaysia (selain daripada cukai jualan 10% untuk model CBU)? Bagaimana pula dengan kenderaan import yang mempunyai harga yang jauh lebih stabil? Patutkah kita menjangkakan lebih banyak kenderaan akan dijual pada harga RM199,999 tidak lama lagi? Bagaimana pula denggan kenderaan terpakai? Pastinya banyak persoalan yang masih belum terjawab.
“Pada ketika ini, Kementerian Kewangan sedang memuktamadkan dasar dan aspek perundangan untuk mengenakan cukai barangan bernilai tinggi. Sebarang perubahan kepada dasar cukai perlu mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” kata PM dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 1 Nov.
Jika anda mencari kenderaan premium, jangan lupa kunjungi acara PACE 2023 yang bakal berlangsung hujung minggu ini (4-5 Nov) di Setia City Convention Centre. Pelbagai tawaran menarik menanti anda, dan mungkin inilah peluang untuk anda ‘mengelak’ dikenakan Cukai Barang Bernilai Tinggi yang akan diperkenalkan tahun hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.