Maxus MIFA 9 mungkin MPV EV untuk jemaah menteri Malaysia, ganti Toyota Vellfire tahun hadapan?

Maxus MIFA 9 mungkin MPV EV untuk jemaah menteri Malaysia, ganti Toyota Vellfire tahun hadapan?

Selain dari pelancaran model-model nasional seperti Proton dan Perodua, agak sukar untuk kita melihat kelibat Perdana Menteri untuk datang bagi menyempurnakan perasmian mana-mana model baharu ke pasaran tempatan.

Namun agak menghairankan ketika pelancaran MPV EV pertama dalam pasaran tempatan, Maxus MIFA 9 di Hotel Shangri La Kuala Lumpur malam semalam – ia bukan hanya dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah beliau turut diiringi oleh beberapa menteri kabinet lain seperti menteri pertahanan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bn Haji Hasan dan menteri komunikasi dan digital YB Ahmad Fahmi Fadzil.

Maxus MIFA 9 merupakan model yang diimport sepenuhnya dari China (CBU), dan pengedarnya di sini iaitu Weststar Maxus tidak mengumumkan sebarang perancangan pelaburan bagi memasang MPV tersebut secara pemasangan tempatan (CKD). Jadi mengapa pelancaran model ini seakan sangat penting sehingga ia dihadiri begitu ramai menteri kabinet?

Ini mungkin ada kaitan dengan pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 bulan lalu, di mana beliau ada menyatakan bahawa kerajaan akan menggunakan kenderaan-kenderaan elektrik (EV) sebagai pengangkutan rasmi tahun hadapan.

Maxus MIFA 9 mungkin MPV EV untuk jemaah menteri Malaysia, ganti Toyota Vellfire tahun hadapan?

Ia membayangkan barisan menteri kabinet turut akan menerima EV sebagai pengangkutan rasmi masing-masing. Buat masa sekarang jemaah menteri dibekalkan dengan MPV Toyota Vellfire 2.5L sebagai kenderaan rasmi, dan Maxus MIFA 9 ini dilihat calon EV sesuai bagi menggantikan MPV dengan enjin petrol dari Jepun tersebut.

MPV tujuh-tempat duduk Maxus MIFA 9 ini menampilkan dimensi panjang 5,270 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,840 mm dan jarak roda sejauh 3,200 mm. Dengan saiz ini membolehkan MIFA bertanding terus dengan Toyota Alphard dan Vellfire, malah jarak rodanya juga adalah 200 mm lebih jauh dari kedua-dua MPV Toyota itu.

Weststar Maxus menawarkan dua varian MIFA 9 ini di Malaysia bermula dengan varian asas Luxury yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM269,888, manakala varian tertinggi Premium berharga RM289,888.

Kedua-dua varian menerima unit rangkaian kuasa dan bateri yang sama. Ia digerakkan motor berkuasa 180 kW (245 PS) dan tork maksima 350 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 180 km/j.

Kuasa dibekalkan dari bateri berkapasiti 90 kWj, namun jarak gerak bagi kedua-dua varian adalah berbeza – Luxury boleh dipandu sejauh 435 km (kitaran gabungan WLTP), manakala Premium pula boleh bergerak sejauh 430 km dengan satu cas penuh. Ia boleh menerima sistem pengecas DC dengan kadar maksimum 120 kW, membolehkan cas 30-80% dipenuhkan dalam masa 30 minit. Dengan pengecas AC 11 kW pula, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 5% ke 100% dalam masa 8.5 jam.

MIFA 9 ini menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk untuk kedua-dua varian, dan menampilkan kabin berwarna hitam, bumbung suria di hadapan dan belakang, serta roda stereng yang dibalut dengan kulit gentian mikro. Untuk varian Premium, ia diberikan perincian seperti pemanas pada roda stereng, upholsteri kulit sebenar dan kulit PVC, fungsi liang udara, pemanas dan pengurut untuk tempat duduk hadapan dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

Pada baris kedua, kedua-dua varian diberikan tempat duduk pilot larasan berkuasa dengan fungsi pemanas, liang penyejuk dan pengurut, serta perehat kaki dan perehat tangan larasan kuasa enam-hala. Khas untuk varian Premium, tempat duduk baris kedua ini hadir dengan rekaan lebih mewah.

Kedua-dua varian menerima paparan instrumen digital penuh dengan skrin tujuh-inci, manakala di tengah papan pemuka diberikan skrin utama 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem pengecas tanpa wayar dibekalkan untuk penumpang hadapan, manakala di kabin belakang setiap baris tempat duduk diberikan port pengecas USB. Port kuasa 220 Volt turut di tempatkan di baris ketiga bagi membolehkan peralatan elektrik lebih berkuasa digunakan.

Kabin bagi varian Luxury dan Premium turut diberikan lampu suasana 64-warna, serta lampu pada bendul pintu hadapan dan belakang. Bagi membezakan varian, model Luxury diberikan lapan-pembesar suara manakala Premium pula diberikan 12-pembesar suara untuk sistem audio.

Perincian lain seperti kedua-dua pintu gelangsar belakang berkuasa elektrik, pintu tailgate bantuan kuasa, pemegang pintu bersaiz penuh pada tiang-B, cermin keselamatan berwarna kelabu, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penghawa dingin automatik untuk kabin hadapan dan belakang bersama pembersih adalah standard untuk kedua-dua varian.

Dengan ruang dan juga perincian premium yang diberikan pada MIFA 9 ini, nampaknya ia lebih berpotensi untuk dijadikan kenderaan menteri berbanding Tesla Model Y. Apa pendapat anda? Mungkin ada model EV lain yang lebih sesuai untuk digunakan para menteri sebagai pengangkutan rasmi?

GALERI: Maxus MIFA 9 Luxury 2023

GALERI: Maxus MIFA 9 Premium 2023

GALERI: Gambar rasmi Maxus MIFA 9 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required