Walaupun masih belum menjual sebarang model dengan teknologi elektrifikasi, Perodua sudah pun mensasarkan untuk memegang 20% bahagian pasaran kenderaan elektrik (EV) dan hibrid dalam pasaran kereta baharu Malaysia menjelang 2030.
Menurut presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam laporan Bernama, sasaran itu mungkin boleh dicapai “jika semua pemain industri boleh bekerjasama.”
“Kami bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi yang lain. Kami juga telah dilantik dalam pelan perindustrian baharu untuk menerajui pembangunan EV di Malaysia.
“Kita perlu menghasilkan produk baharu. Kita belum memuktamadkan masa pengeluarannya, tetapi sasaran yang diberikan oleh kerajaan — 20 peratus menjelang 2025 atau 2030 — akan menjadi kenyataan jika semua pihak memberi kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) selasa lalu.
Menurutnya keseluruhan ekosistem EV ini akan melibatkan pelaburan yang besar dan berharap syarikat-syarikat lain akan dapat membantu mencapai sasaran kerajaan, salah satunya ialah untuk membina 10,000 stesen pengecasan di seluruh negara.
Minggu lalu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan sedang berusaha membina infrastruktur yang diperlukan sebagai sebahagian daripada sasarannya untuk menjadikan EV dan hibrid menyumbang 20 peratus daripada jualan kereta baharu menjelang 2030; 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.
Bagi Perodua, model hibrid pertamanya (tidak termasuk Ativa Hybrid yang sebenarnya adalah Rocky Hybrid yang diimport dari Jepun dan ditawarkan hanya dalam program langganan) mungkin bakal dilancarkan tahun hadapan.
Teknologi berkenaan dijangka akan diperkenalkan menerusi SUV segmen-B yang kini hanya dikenali dengan kod projek D66B, dikhabarkan merupakan kembar kepada Toyota Yaris Cross yang kini sudah pun dilancarkan di Indonesia dan Thailand.
Yaris Cross dibina berdasarkan platform Daihatsu New Global Architecure (DNGA) dengan saiz hampir sama seperti Honda HR-V dan Proton X50. Untuk pasaran Thailand ia hanya hadir dalam versi petrol hibrid yang mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 26.3 km/l.
Manakala untuk pasaran Indonesia, selain dari versi hibrid ia turut ditawarkan dalam versi petrol penuh dengan enjin 1.5L 2NR-VE DOHC Dual VVT-i 1.5 liter empat-silinder NA yang sama seperti pada Toyota Vios, Perodua Myvi dan Alza.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.