TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Nightshift – naik automatik jadi segak, peningkatan dibuat beri beza

TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Nightshift – naik automatik jadi segak, peningkatan dibuat beri beza

Ducati Scrambler sekarang berada dalam generasi kedua, dan Ogos lalu ia telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada harga bermula RM62,900. Daripada tiga varian yang ditawarkan, kami berpeluang menguji salah satu daripadanya iaitu versi Nightshift.

Scrambler Nightshift ini boleh dikatakan versi yang tinggi, dijual pada harga sama seperti Full Throttle, iaitu RM69,900, sementara varian permulaan Icon dijual pada harga RM62,900. Setiap versi mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Jika anda sudah mula memerhati gambar yang kami letakkan di sini, perlu kami beritahu bahawa set ekzos lengkap Termignoni serta quickshifter yang berada pada Nightshift yang kami pinjam dari Ducati Malaysia ini bukanlah aksesori standard, tetapi dijual secara berasingan pada harga masing-masing sekitar RM12k dan RM2k, dan dipasang pada unit ini sebagai contoh kepada pelanggan.

TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Nightshift – naik automatik jadi segak, peningkatan dibuat beri beza

Pada Scrambler generasi sebelum ini, Nightshift memang sudah ada, dan ia ditawarkan sebagai satu pilihan sporty bersama versi Cafe Racer tetapi sekarang bagi Scrambler generasi kedua masih belum ada versi Cafe Racer.

Keistimewaan Nightshift pertamanya, seperti bayangan yang diberi melalui namanya adalah penampilan serba gelap pada hampir seluruh bahagiannya, termasuk rim spoked yang bersaiz 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Panel tepi serta tangkinya pula menggunakan warna biru, tetapi masih gelap, sementara untuk kontras, tempat duduk dibalut kulit berwarna coklat.

Bagi yang mahukan penampilan garang dan jahat, inilah pilihannya dan bagi kami, sekarang ini, Nightshift adalah versi Scrambler yang paling bergaya. Duduk saja di atasnya, automatik kita akan terasa segak – rupa di sebalik helmet tu lain lah pula ceritanya.

Selain daripada itu, Nightshift juga menyediakan ergonomik yang berada di pertengahan antara tegak (seperti yang disediakan oleh versi Icon) dan menunduk (seperti Cafe Racer). Ini kerana pemegangnya masih menggunakan pendakap di tengah, bukannya clip-on pada fork seperti Cafe Racer dan merupakan jenis leper tapi ke belakang sedikit, memudahkan ia dicapai oleh penunggang dan menghasilkan gaya tunggangan yang lebih tegap.

Walaupun penulis kami boleh dikatakan agak tinggi (180 cm) beliau masih rasa selesa dengan ergonomik Nightshift bersama kedudukan kaki serta tempat duduk yang bersesuaian dengan motosikal jenis ini. Lekuk yang ada pada tangki juga sedap untuk dikepit.

Jika anda perasan, salah satu paip ekzos yang keluar daripada enjin L-twin Scrambler ini pergi ke atas dan berada dekat pada kaki penunggang apabila duduk di atasnya. Sebenarnya, ia bukan sekadar dekat, tetapi memang boleh melekap terus pada betis.

TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Nightshift – naik automatik jadi segak, peningkatan dibuat beri beza

Asalnya kami juga risau, tak naklah diberi sagu hati berkekalan (parut melecur) apabila menunggang Scrambler ini tetapi penghadang plastik yang diletakkan pada bahagian ekzos itu berfungsi baik untuk menyerap haba. Anda malah boleh meletakkan tangan pada bahagian itu dan cuma merasa suam apabila enjin masih hidup.

Antara peningkatan penting pada Scrambler generasi kedua adalah ia sekarang menggunakan sistem ride-by-wire, yang membolehkan penawaran mod tunggangan serta kawalan tahap cengkaman (traction control) oleh ECU. Dua mod tunggangan disediakan iaitu Road dan Wet.

Walaubagaimanapun, seperti yang kami nyatakan awal tadi, unit yang kami uji ini sudah dipasang dengan set lengkap ekzos Termignoni dan ditala semula, jadi pilihan mod tunggangannya juga sudah jadi berbeza dengan sekarang mempunyai pilihan Road EVO dan Sport EVO.

Anda masih boleh menukar mod tunggangan ini sambil bergerak, dengan hanya menekan satu butang di bahagian kiri sambil pendikit ditutup, tetapi untuk melakukan pelarasan tahap penyampaian kuasa serta campur tangan sistem kawalan cengkaman (juga boleh ditutup terus) anda perlu masih lebih lagi ke dalam pilihan menu.

Bagi kami, duduk dalam satu mod sahaja, iaitu Sport EVO sudah mencukupi. Kuasa masih mudah dijangka apabila bergerak dalam trafik sesak, tidak sehingga tersengguk-sengguk dan apabila dipulas mengikut geram ia masih boleh memberikan kepuasan.

Apatah lagi, Nightshift yang kami uji ini datang dengan quickshifter dan ekzos Termignoni – memang disaran penuh untuk ditambah oleh pemilik kerana dapat melebarkan lagi senyuman anda setiap kali menukar di antara enam gearnya, sama ada naik ataupun turun. Secara keseluruhan, enjin Desmodue dua silinder L 803 cc pada Scrambler baru ini dapat menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm tork pada 7,000 rpm.

TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Nightshift – naik automatik jadi segak, peningkatan dibuat beri beza

Jika sebelum ini model generasi pertama menggunakan meter digital LCD berbentuk bulat, model generasi baru ini pula mendapat skrin TFT 4.3 inci berwarna penuh. Paparannya boleh ditukar dengan latar belakang putih atau hitam, dan pada pandangan kami, kedua-duanya masih boleh dilihat jelas dalam keadaan siang ataupun malam.

Operasi butang kawalannya pula boleh dikatakan bukanlah yang paling mudah difahami tetapi setelah beberapa hari menggunakannya barulah kami dapat membiasakan diri dan ia memerlukan sedikit masa untuk dihafal.

Untuk pengetahuan anda, Ducati juga menggunakan casis baru, termasuk lengan ayun untuk Scrambler generasi kedua ini. Ia adalah lebih ringan, dan pada pendapat kami turut menyumbang kepada tunggangan yang lebih mudah dan memuaskan.

Suspensi bagaimanapun masih lagi sama seperti sebelum ini, terdiri daripada fork USD 41 mm tanpa sebarang pelarasan di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Untuk tunggangan biasa, ia boleh dikatakan memuaskan tetapi apabila dilenjan sepenuhnya barulah anda dapat merasakan ia sedikit lembut. Ini adalah contoh bagi seseorang penunggang yang mempunyai berat sekitar 70 kg.

Maklum balas sama boleh diberi pada bahagian brek, yang terdiri daripada padanan cakera tunggal 330 mm bersama angkup Brembo empat piston di hadapan, dan cakera 245 mm bersama angkup satu piston di belakang – Cornering ABS datang secara standard.

Tangki bahan api Scrambler baru ini adalah 13.5 liter, dan bagi versi Nightshift, ia juga datang dengan aksesori istimewa lain seperti penunjuk arah LED Ducati Performance, fender hadapan jenis pendek, cermin sisi tepi pemegang serta tempat duduk jenis rata (tetapi kami rasa masih selesa) yang mencatat tinggi dari tanah 795 mm. Berat keseluruhannya adalah 191 kg.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required