KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

Selepas hanya diadakan satu pusingan tahun lalu, siri Kejohanan KBS Rally Sprint kembali untuk edisi 2024 – kali ini ia akan dilangsungkan sebanyak tiga pusingan, di mana pusingan pertama telah pun berjaya ditamatkan dengan jayanya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang hujung minggu lalu.

Pusingan pertama Rally Sprint berkenaan nampaknya berjaya menarik penyertaan wira-wira rali negara seperti Saladin Mazlan, Karamjit Singh dan Haji Sutan Mustafa Salihin, serta pasukan-pasukan rali yang sudah lama tidak beraksi untuk dijadikan sebagai platform ‘pemanas badan’ bagi banyak lagi perlumbaan rali yang dijadualkan akan berlangsung semula di Malaysia tahun ini.

Walau bagaimanapun pusingan pertama KBS Rally Sprint 2024 bukan hanya penuh dengan drama, malah ia turut menyajikan keputusan yang mengejutkan di mana pelumba yang sinonim dalam displin Gymkhana, Mitch Chong berjaya menjuarai rali kali ini dengan menewaskan jentera-jentera 2.0 liter turbo pacuan semua roda dalam kelas P12, hanya dengan memandu Proton Satria dengan enjin 1.8 liter NA!

Para pelumba dilepaskan tepat pada pukul 8 pagi, 25 Februari 2023 selepas segala persiapan termasuk sesi recce yang berlangsung pada hari sebelumnya. Pada SS pertama, pelumba dari pasukan Kie Garage Motorsport, Zahid Latiff yang memandu Daihatsu Mira L5 membuat kejutan dengan mencatat masa terpantas, 7 saat lebih laju dari Haji Sutan yang memandu Subaru Impreza WRX STi GDB pasukan Magnax Racing.

Walau bagaimanapun, selepas terlalu memaksa Kei-Car turbo pacuan roda hadapan berkenaan, jentera yang dipandu oleh Zahid tersebut mengalami kerosakan sistem stereng di mana tie-rod end bahagian kanan telah patah pada SS2. Selepas Zahid terpaksa pulang ke service park, saingan untuk LEG 1 tertumpu antara dua pelumba pasukan Magnax Racing iaitu Haji Sutan dan Mitch Chong.

Dengan jentera yang kurang berkuasa tetapi lebih ringan serta dibangunkan khas untuk laju di permukaan tar, khususnya dalam perlumbaan Gymkhana, Proton Satria 1.8L NA pacuan roda hadapan Mitch berjaya mencatatkan masa lebih pantas di SS3, SS5, SS6 dan SS8 berbanding Subaru Impreza yang dipandu oleh Haji Sutan.

Melihat catatan masa yang dibuat oleh Mitch begitu serius, Haji Sutan sedikit demi sedikit menukar gaya pemanduannya dari agresif dengan ‘membelanja’ aksi power slide untuk penonton, kepada pemanduan yang lebih kemas dan tidak membuang masa. Namun selepas habis lapan SS pertama, Mitch Chong berjaya menamatkan LEG 1 pada kedudukan pertama, dengan kelebihan hanya 3 saat berbanding Haji Sutan.

Kedudukan Mitch di hadapan ini juga dibantu oleh nasib tidak baik yang dialami oleh tiga pemandu untuk kelas P12 (kapasiti lebih 2.0L, 4WD) iaitu Saladin Mazlan, Karamjit Singh dan Faidzal Alang. Bagi Saladin, jentera space frame MINI Deus dengan enjin 4G63T yang dipandunya mengalami masalah pada kotak komputer enjin, menyebabkan dia terpaksa ‘merangkak’ mengharungi SS1 hingga SS4, dan mengambil keputusan untuk keluar terus dari perlumbaan selepas itu.

Karamjit Singh pula memandu Mitsubishi Lancer Evolution 8 pasukan Marcars Motorsport yang baru ‘dikejutkan semula’ disaat-saat akhir selepas ‘tidur’ selama lapan tahun, menyebabkan ia tidak dapat beraksi sepenuhnya kerana menghadapi pelbagai masalah termasuk tekanan bahan api yang tidak stabil. Walau bagaimanapun Karamjit masih mampu menghabiskan LEG 1 pada kedudukan kelima.

Manakala bagi Faidzal Alang dari pasukan Darsa Lube Rally Consortium, enjin Mitsubishi Lancer Evolution yang dipandunya tiba-tiba mati di SS3. Jentera berkenaan kemudiannya terpaksa ditunda untuk kembali ke service park dan kemudiannya disahkan mengalami masalah pada pam bahan api.

LEG 2 bermula pada sebelah petang dengan pelumba pertama dilepaskan ke SS9 tepat pada pukul 2 petang. Beberapa kereta yang rosak pada LEG 1 seperti Mira Zahid Latiff dan Lancer Evo Faidzal Alang berjaya diperbaiki dan mula berlumba semula dalam LEG 2 ini.

Kali ini Karamjit Singh seakan bangkit semula dengan mencatatkan masa terpantas di SS9 dan SS10, dan seterusnya memenangi LEG 2 secara keseluruhan. Walau bagaimanapun catatan masa yang dibuat tersebut masih tidak boleh menandingi Mitch Chong dan Haji Sutan secara keseluruhan, dan Karam berada di tempat keempat keseluruhan dan kedua dalam kategori P12 dan 4WD.

Persaingan antara Mitch dan Haji Sutan masih lagi hebat ketika ini di mana kedua-dua pelumba berkenaan mencatatkan masa yang sama iaitu 5 minit 45 saat pada SS9. Tetapi pada SS terakhir iaitu SS10, Mitch mengesahkan kemenangannya dengan mencatatkan masa yang jauh lebih baik iaitu 5 minit 40 saat, berbanding Haji Sutan yang hanya mampu mencatatkan masa 6 minit 1 saat.

Turut mencatatkan kejutan kali ini adalah pasangan suami isteri – Shafiq Shamsudin sebagai pemandu yang dibantu isterinya iaitu Shasha Farina sebagai juru arah – berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Mitch dan Haji Sutan, serta dinobatkan sebagai naib juara kategori P11.

Shafiq beralih dari Toyota Vios yang dibangunkan untuk perlumbaan one make Vios Challenge pada Rally Sprint 2023 kepada Suzuki Swift Sport ZC32 untuk Rally Sprint 2024, yang bukan sahaja menghidangkan aksi flamboyant ketika mengambil selekoh, malah penonton turut dihiburkan dengan ‘jeritan’ RPM tinggi enjin M16A 1.6 liter NA dalam perut Swift tersebut.

KBS Rally Sprint kali ini juga menyaksikan Purnama Rally Team turun semula untuk berlumba. Walau bagaimanapun jentera Honda Integra Type R DC2 ikonik pasukan tersebut tidak dipandu oleh prinsipal pasukan berkenaan iaitu Jamaludin Tukimin. Tetapi ia dipandu oleh anaknya, Hashrul Jamaludin yang dibantu oleh juru arah Ruzana Tukimin. Pasangan anak-ibu saudara berkenaan menghabiskan rali ini di tempat ke-11 keseluruhan, dan ketiga dalam kategori P11.

Kategori Rookie yang memberikan peluang kepada pelumba baharu untuk menyertai rali masih dipertandingkan dalam KBS Rally Sprint 2024. Ia adalah kategori yang diwujudkan untuk pelumba yang benar-benar baharu iaitu tidak pernah berlumba dengan lesen perlumbaan yang dikeluarkan oleh MAM sebelum ini, dan kereta yang digunakan tidak perlu dilengkapi rollcage tetapi kapasiti enjin dihadkan di bawah 1,400 cc serta hanya dipadankan dengan kotak gear automatik atau CVT.

Dalam kategori ini, Farid Adley yang memandu Perodua Kembara pasukan Yetza Garage berjaya menjadi juara selepas hanya mendapat tempat kedua dalam Rookie Cup Rally Sprint 2023. Ia diikuti oleh Ahmad Fadzlan Rahim dari Happy Happy Racing yang memandu Perodua Kelisa.

Berikut adalah keputusan keseluruhan serta setiap kelas dan kategori:

Keseluruhan

KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

Juara – Mitch Chong & Fadzli Ishak
Magnax Racing Team, Proton Satria 1.8

Naib Juara – Haji Sutan Mustafa Salihin & Victor Chong
Magnax Racing Team, Subaru Impreza WRX STi GDB

Tempat Ketiga – Mohd Shafiq Shamsuddin & Shasha Farina Mohd Shapie
Race Rally KL, Suzuki Swift ZC32

Kelas P12

KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

1. Haji Sutan Mustafa Salihin & Victor Chong
Magnax Racing Team, Subaru Impreza WRX STi GDB

2. Karamjit Singh & Daveender Singh
Marcars Motorsport, Mitsubishi Lancer Evolution VIII

3. Mohd Aizudin Aizudin Ibrahim & Shamsudin Ibrahim
SIR 2 Motorsport, Proton Satria 4WD

Kelas P11

KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

1. Mitch Chong & Fadzli Ishak
Magnax Racing Team, Proton Satria 1.8

2.Mohd Shafiq Shamsuddin & Shasha Farina Mohd Shapie
Race Rally KL, Suzuki Swift ZC32

3. Muhammad Hashrul Jamaludin & Ruzana Tukimin
Purnama Rally Team, Honda Integra Type R DC2

Kelas P10

KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

1. Muhammad Syakirin Razaki & Amir Izham Abd Aziz
East Coast Rallying, Honda Jazz GE

2.Kang Chin Wan & Brandon Choong Y-Leong
Magnax Racing Team, Honda CRZ

3. Zairi Zakaria & Khairul Nizam Mohammad
Ezz Machine, Proton Satria

Kelas P9
KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

1. Chan Sook Ping & Ng Pei Yi
Magnax Racing Team, Proton Saga Iswara

2. Ang Yuh Guan & Ng Yuan Kean
Magnax Racing Team, Proton Saga Iswara

3. Zahid Latif & Kamal Shukri
Kie Garage, Daihatsu Mira L5

Classic Cup
KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

1. Aideel Husairry & Mahadi Husin
SIR 2 Motorsport, Proton Saga

2. Mohd Syu’aib Hassan & Muhammad Firdaus Mohd Fodzi
Doris Racing Team, Proton Saga

Junior Cup
KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

1. Syahmie Ruzainie & Dinie Nazmi
R&R Sport Speed Garage, Proton Wira

2. Ang Yuh Guan & Ng Yuan Kean
Magnax Racing Team, Proton Saga Iswara

Ladies Cup
KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

1. Chan Sook Ping & Gan Chew Hoon
Magnax Racing Team, Proton Iswara

Rookie Cup
KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

1. Farid Adley & Wan Muhammad Akshah
Yetza Garage, Perodua Kembara

2. Ahmad Fadzlan Rahim & Ridwan Bachotang
Happy Happy Racing, Perodua Kelisa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required