Dongfeng E-Truck – model konsep EV klon Tesla Cybertruck dengan rekaan lebih masuk akal, 1,305 hp!

Dongfeng E-Truck – model konsep EV klon Tesla Cybertruck dengan rekaan lebih masuk akal, 1,305 hp!

Ketika Tesla mendedahkan trak pikap EV Cybertruck pada 2019, ia telah mencetuskan kontroversi kerana sebahagian orang suka dengan rekaan futuristik tersebut, dan ada juga yang tidak suka kerana ia tidak masuk akal serta agak berbahaya kerana menampilkan banyak sudut-sudut yang tajam bersama badan keluli tahan karat yang terlalu keras.

Dengan mengambil inspirasi dari rekaan Cybertruck tersebut, pengeluar automotif dari China iaitu Dongfeng telah menghasilkan ‘Cybertruck’ mereka sendiri dengan rekaan lebih masuk akal – ini dia model konsep Dongfeng E-Truck yang membuat penampilan sulungnya di Auto China 2024 yang sedang berlangsung.

Menurut Dongfeng, trak ini dihasilkan menerusi platform skateboard EV. Apa yang menarik, berbanding Cybertruck asli yang menerima kuasa 845 hp untuk versi paling buas iaitu Cyberbeast, Dongfeng E-Truck ini digerakkan dengan kuasa lebih besar iaitu 1,305 hp!

Pelbagai rekaan luaran yang jelas diambil inspirasi dari Cybertruck untuk menghasilkan E-Truck ini, antaranya warna badan perak seakan warna asli keluli tahan karat sebenar, bar LED merentangi sepenuhnya pada bahagian muka, lampu utama yang terletak pada bahagian bawah, dan juga bahagian ‘frunk’ iaitu ruang kargo pada sebelah hadapan.

Namun E-Truck ini masih mengambilkira aspek-aspek yang lebih masuk akal dengan menampilkan bumbung rata berbanding bentuk baji pada Cybertruck, dan ia tidak mempunyai bucu-bucu yang tajam pada badannya.

Bahagian belakang turut dilihat menerima pengaruh kuat dari Cybertruck di mana ia diberikan bar lampu belakang LED (yang turut disertakan panel paparan). Manakala pada bahagian bed belakang, ia terus boleh dijadikan khemah apabila penutupnya dibuka ke atas, serta turut dipadankan dengan dapur induksi pada pintu bed tersebut.

Selain itu, E-Truck ini ada juga tampil dengan rekaannya tersendiri, seperti pintu belakang jenis suicide door ala-Rolls-Royce, serta pemijak sisi yang boleh disorokkan/dikeluarkan secara automatik.

Dalam kabin, E-Truck ini menerima roda stereng berbentuk petak juga seperti Cybertruck, bersama skrin panjang yang merentangi sepenuhnya papan pemuka. Satu lagi skrin pada bahagian tengah turut diberikan bagi memberikan akses terus kepada pelbagai fungsi kereta seperti mod ‘jalan ketam’, pusingan ala-kereta kebal dan juga mod meredah air pada kedalaman 720 mm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required