Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NHV ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NHV ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

Begitu pantas masa berlalu, Proton X50 hampir memasuki usia empat tahun di pasaran selepas pertama kali dilancarkan pada Oktober 2020. Sejak tahun lalu, terdapat desas-desus bahawa SUV segmen-B yang laku keras ini akan diberikan versi facelift, namun ia belum direalisasikan biar pun beberapa kali ia kelihatan diuji di jalan raya.

Namun hari ini, Proton telah pun melancarkan versi facelift bagi X50, namun ia hanya melibatkan kemaskini minimal. Bermakna, ia bukanlah model facelift yang digembar gemburkan menerusi rakaman spyshot yang dikongsikan sebelum ini. Model versi facelift yang dilancarkan ini dinamakan sebagai X50 RC 2024, dan ditawarkan dengan harga atas jalan RM86,300 tanpa insurans bagi varian 1.5T Standard, RM93,300 untuk 1.5T Executive, RM101,800 bagi 1.5T Premium dan model spesifikasi penuh 1.5T Flagship pula berharga RM113,300.

Sempena pelancarannya, Proton mengumumkan diskaun tunai sebanyak RM7,000 bagi 5,000 pembeli pertama X50 RC 2024. Bukan itu sahaja, turut diberikan ialah rebat RM1,500 untuk tawaran jual-beli (trade-in), RM6,000 untuk tawaran Value Added Features dengan kesemuanya berjumlah RM14,500. Untuk makluman, ‘RC’ pada nama X50 facelift ini bermaksud ‘Running Change’, seperti mana yang pernah diterima oleh Saga MC 2022 dan Exora RC Premium 2019 yang diberi kemaskini minimal.

Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NHV ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

Untuk X50 1.5 TGDi RC 2024 ini, tiada perubahan pada penjana kuasanya. Ia masih kekal menggunakan unit 1.5L turbo tiga-silinder petrol dengan output 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm, serta digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan dan membolehkan SUV ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat.

Dan buat pertama kalinya, ini merupakan versi pertama bagi X50 yang diberikan enjin pengeluaran tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang Proton di Tanjung Malim, Perak. Sebelum ini, enjin X50 dibawa masuk dari China. Selain itu, X50 RC 2024 juga telah diberikan penambahbaikan dari segi Noise, Vibration, and Harshness (NVH), melibatkan lebih 20 poin NVH ditambahbaik untuk memberikan keselesaan yang lebih jitu. Dengan ini, bunyi enjin dan bunyi bising jalan dapat dikurangkan dengan kadar yang agak banyak.

Berbanding X50 sebelum ini, bunyi enjin dan bunyi bising jalan telah ditebat dengan lebih baik. Bagaimana pun, untuk bunyi bising angin pula, ia masih kedengaran walau pun sedikit berkurangan bagi X50 RC 2024 ini.

Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NHV ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

Bagaimana pula dengan imej luarannya? Ada perubahan yang dilakukan? Jawapannya tiada apa-apa perubahan untuk luarannya. Malah tiada apa yang dapat membezakan antara X50 RC 2024 dengan versi terdahulu. Menurut Proton, buat masa ini memang tiada perubahan dari segi imejnya kerana “ia sudah kelihatan sempurna”. Jadi ia masih dikekalkan seperti mana versi terdahulu, termasuk lampu utama projektor LED dengan fungsi lampu tinggi automatik (kecuali Standard yang hanya diberikan unit LED), lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang.

Selain itu, ia masih ditampilkan dengan jaluran merah pada bahagian gril infinite weave, rim aloi dwi-tona 18-inci (17-inci untuk Standard). Untuk varian Standard dan Executive, kali ini telah menerima tayar baharu iaitu Goodyear Assurance Tripmax 2, sama seperti model S70. Manakala varian Premium dan Flagship kekal dengan tayar Continental UltraContact UC6. Varian Flagship juga masih mengekalkan dua-tona warna luaran dengan bumbung dan tiang hitam serta bumbung kaca panoramik.

Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NHV ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

Untuk bahagian kabinnya juga, kalau dilihat dari sudut pandangan mata kasar, ia masih sama seperti model terdahulu. Seperti imej luarannya, tiada perubahan yang dilakukan terhadap bahagian kabinnya. Ia masih mengekalkan ciri termasuk kemasan aluminium brushed, tempat duduk balutan kulit, pendingin hawa zon-tunggal dengan penapis kabin N95, operasi pembuka but dengan Remote Control Activation, parkir brek elektronik dan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang.

Namun, semua varian X50 RC 2024 ini menerima kemaskini dari segi unit paparan utama (HUD) bersaiz 10.3-inci dengan resolusi yang lebih tinggi pada kadar 1920 x 720, unit pemprosesasan dual quad-core, 2GB bagi kapasiti RAM, kapasiti storan hingga 64GB, dan aplikasi Spotify Music. Menurut Proton, dengan pembaharuan yang dilakukan HUD ini, prestasi pengkomputerannya menjadi 3.3 kali ganda lebih pantas, dengan 33% lebih kelajuan untuk bootup dan juga 55% lebih pantas untuk loading time.

Selain itu, dua varian tertinggi bagi X50 RC 2024 ini masih diberikan kamera 360-darjah tetapi telah dipertingkatkan bagi memantapkan lagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan. Dengan menambah jumlah piksel sebanyak 3.3 kali ganda, pandangan imej 3D sekeliling yang dipaparkan dari kamera ini ternyata lebih jelas biar pun dalam keadaan pencahayaan yang rendah, maka urusan parkir kenderaan lebih meyakinkan.

Dua minggu lalu, kami sempat memandu uji X50 RC 2024 ini di litar ujian Pusat Kecemerlangan Proton (COE) Shah Alam dan berkesempatan untuk menguji kamera 360-darjah yang dipertingkatkan ini dengan ujian umpama melalui lorong (yang diletakkan kon) yang sempit dan parkir.

Hanya berpandukan kamera 360-darjah ini semata-mata tanpa tidak melihat keadaan sekeliling menggunakan cermin hadapan (windscreen), cermin sisi dan cermin pandang belakang. Ternyata kamera 360-darjah ini lebih jelas dan sangat membantu meningkatkan daya fokus penglihatan, bahkan objek sekecil botol mineral juga agak jelas kelihatan dirakamkan oleh peranti ini.

Pemandu boleh memilih sama ada menggunakan garisan panduan (guideline) yang dipaparkan menerusi skrin untuk lebih keyakinan atau pun boleh ‘memadamnya’. Kamera 360-darjah ini juga dilengkapi dengan pemantau titik buta berserta 3D Live Feed yang berfungsi ketika hendak menukar lorong sewaktu memandu.

Untuk tiga varian tertinggi X50 RC 2024 ini juga menerima aplikasi Proton Link yang bertindak untuk memantau dan mengawal fungsi kenderaan secara kawalan, seperti menghidupkan enjin dan pendingin hawa secara jarak jauh.

Untuk aspek keselamatan, X50 RC 2024 masih dikekalkan dengan enam beg udara (hanya empat beg udara untuk Standard), sistem brek ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, Auto Brake Hold serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang.

Selain itu, varian Flagship masih mengekalkan fungsi pemanduan sendiri (autonomous) tahap 2, terdiri dari cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah di lorong, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong dan juga sistem bantuan parkir yang membolehkan ia diparkir sendiri oleh komputer pada kedudukan selari dan sisi.

Untuk pilihan warnanya pula, kesemua varian masih dikekalkan dengan Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue dan Passion Red. Setiap pembelian diberi waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan, lima-tahun pakej data percuma (16G sebulan), dan enam kali penyelenggaraan dengan kos buruh percuma.

Jika inginkan kelainan untuk bahagian luaran dan dalaman, bagi yang memilih varian Premium atau Flagship, bolehlah membeli pakej aksesori R3 Lite yang ditawarkan pada kos tambahan RM7,500. Pakej ini ditawarkan secara terhad dan bergantung kepada siapa yang mendapatkannya dahulu dan selagi stok masih ada.

GALERI: Proton X50 RC Flagship 2024

GALERI: Proton X50 RC Premium 2024

GALERI: Proton X50 RC Executive 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required