Yamaha hari ini memperkenalkan buat pertama kalinya kepada dunia NMax 2024, di Indonesia, dengan melihatkan perubahan menyeluruh termasuk penampilan, enjin serta kelengkapan. Ia ditawarkan dalam beberapa varian, bermula dari Neo berharga 32.7 juta rupiah (RM9,462) hingga “Turbo Tech Max Ultimate” berharga 45.25 juta rupiah (RM13,093).
Penampilan NMax 2024 ini berubah terus, dengan rekaan serba baru dan selain lampu belakang LED, lampu hadapannya juga dinaik taraf dengan unit LED projector bertingkat, bersama lampu siang. Bagi tempat duduk, versi Tech Max mendapat unit Comfort Seat, yang dikatakan menggunakan bahan khas serta balutan bertekstur bersama jahitan emas.
Enjin NMax 2024 masih lagi menggunakan unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT). Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15 hp pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm. Jumlah ini cuma berbeza 0.3 Nm berbanding NMax 155 sebelumnya.
Perkataan “Turbo” yang digunakan pada beberapa varian NMax 2024 ini merujuk bahawa ia datang dengan dua fungsi baru. Pertama adalah Turbo Riding Mode iaitu mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Touring Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sport Touring yang lebih bertenaga).
Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.
Varian “Turbo” Tech Max juga menerima ciri keselamatan yang lebih tinggi, bermula dengan ABS dual-channel, serta sistem kawalan cengkaman yang boleh mengelakkan tayar belakang daripada tergelincir sewaktu memecut.
Satu lagi kelebihan pada varian Turbo Tech Max adalah ia dilengkapi dengan skrin bertingkat, yang di bahagian atas menggunakan panel LCD untuk memaparkan tahap minyak, kelajuan serta odometer, sementara di bawah terdapat panel TFT yang boleh memaparkan peta navigasi apabila disambungkan kepada telefon pintar serta aplikasi Garmin Street Cross.
Varian lain pula masih menggunakan skrin LCD, tetapi dengan rekaan paparan baru. Sama seperti sebelum ini, skrin tersebut boleh disambung kepada telefon pintar dan aplikasi Y-Connect untuk memaparkan notifikasi mesej atau telefon.
Ciri lain yang disediakan secara standard bagi NMax 2024 adalah termasuk sistem start & stop, brek cakera hadapan dan belakang, rim 13 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, penyerap belakang dengan sub-tank, soket pengecas USB, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk serta tangki bahan api 7.1 liter. Sistem kunci pintar disediakan hanya pada Neo S ke atas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Nak tunggu bila masuk Malaysia?