Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan buat masa ini tiada rancangan untuk melaksanakan had usia pemandu, seperti dilaporkan oleh The Star. Walau bagaimana pun, beliau mengakui bahawa sebelum ini ada desakan agar had umur dikenakan ke atas pemandu bagi mengelak kemalangan.
Beliau turut diminta mengulas mengenai kajian keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati 30% pemandu yang berumur 60 tahun ke atas masih aktif memandu di jalan raya. Loke berkata walaupun melibatkan faktor usia, namun ada sebab lain yang menghalang pelaksanaan mengenakan had usia bagi pemandu.
“Tun Dr Mahathir kini berusia 99 tahun dan beliau masih memandu. Bahkan bapa saya juga masih memandu,”kata Loke lagi. Tambahnya, adalah sukar untuk mengenakan larangan memandu ke atas warga emas, terutamanya jika mereka tinggal di kawasan luar bandar, atau jika mereka perlu memandu disebabkan hal kecemasan.
Sebelum ini, pada tahun 2021, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengusulkan cadangan untuk mengenakan syarat khas bagi mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas, termasuk keperluan menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat untuk memandu.
Tidak lama selepas itu, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan dakwaan mengenai pelaksanaan mengehad usia pemandu sedang dalam perancangan. Katanya, kecekapan pemandu tidak seharusnya dinilai berdasarkan usia semata-mata.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.