Yamaha Tenere 700 Experience beri peluang peserta kumpul ilmu, kemahiran menunggang bersama pro

Yamaha Tenere 700 Experience beri peluang peserta kumpul ilmu, kemahiran menunggang bersama pro

Dalam segmen motosikal touring/adventure kelas pertengahan, ada satu model yang kerap disebut-sebut selepas diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2019, iaitu Yamaha Tenere 700 atau gelaran singkatnya, T7. Jika muncul sahaja pesaing baru dalam segmen itu, T7 pasti akan dimasukkan dalam perbandingan.

Di Malaysia, T7 baru sahaja dilancarkan Februari tahun ini pada harga RM69,888 dan sambutan terhadapnya semakin meningkat. Bagi memberikan lebih nilai kepada pelanggan, dan menunjukkan kemampuan motosikal ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menganjurkan Yamaha Tenere 700 Offroad Experience.

Acara yang julung kali diadakan ini dibuat di Kev Advenduro Park, Gamuda Gardens, Rawang, dengan melibatkan bukan sahaja pemilik, tetapi juga wakil media terpilih seperti kami dan juga wakil pengedar Yamaha.

Seperti kebiasaan program seperti ini, acara dimulakan dengan sesi teori yang melibatkan pelatih berpengalaman dalam dunia offroad tempatan, iaitu Kevin Lee serta Habibullah Saleh (Gabit), yang juga merupakan pelumba offroad profesional.

Menunggang motosikal di kawasan offroad memerlukan set kemahiran yang berbeza berbanding atas jalan biasa, dan kursus yang diberi meliputi pelbagai perkara bermula dari kelengkapan pada diri penunggang, tetapan motosikal, kedudukan menunggang dan ke mana mata perlu tertumpu apabila menunggang.

Lebih satu jam sesi teori ini berjalan, peserta bergerak ke motosikal untuk memulakan latihan tunggangan. Cabaran pertama adalah dakian bukit. Sekali pandang, bukit yang nampak tidak terlalu tinggi sebenarnya bukanlah mudah bagi semua.

Yamaha Tenere 700 Experience beri peluang peserta kumpul ilmu, kemahiran menunggang bersama pro

Penggunaan gear haruslah betul, termasuk sekali dengan momentum dan tentunya, penunggang perlu bersedia dengan kedudukan yang bersesuaian. Walaupun permukaan tanah adalah kering, masih ada yang terjatuh dan membuktikan perkara mudah seperti ini juga memerlukan latihan.

Kemudian, peserta bergerak pula ke kawasan lapang untuk melakukan latihan memulas dan melepaskan pendikit dengan hanya satu tangan, melanggar halangan batu sambil melepaskan tangan serta membuat slalom (mengelak ke kiri dan kanan).

Dalam keadaan seperti ini, kepentingan kemahiran yang diperoleh daripada latihan ini mungkin tidak boleh dilihat, tetapi ia sebenarnya berguna apabila masuk ke jalan offroad atau bagi pemilik, apabila mereka menjelajah dengan motosikal mereka.

Daripada sini, anda akan belajar menambah rasa selesa dan yakin apabila mengendalikan motosikal, dan apa yang perlu dibuat semasa berhadapan dengan cabaran tertentu. Meskipun latihan hanya dibuat beberapa kali, penunggang boleh mengulangnya kembali apabila pulang untuk menambah kemahiran sendiri.

Akhir sekali, peserta dibawa ke litar offroad yang memang tersedia di Gamuda Gardens. Di sini, apa yang dipelajari dalam latihan sebelum ini dipraktikkan atas keselesaan dan kemampuan masing-masing. Hujan yang turun pada hari sebelumnya membuatkan keadaan jadi agak mencabar memandangkan kebanyakan motosikal masih menggunakan tayar asal yang lebih untuk penggunaan 50% jalan biasa dan 50% offroad.

Turut serta dalam program ini, kami boleh katakan latihan dan aktiviti yang disediakan oleh penganjur sangat bersesuaian bukan sahaja bagi penunggang motosikal adventure baru, tetapi juga yang berpengalaman. Sentiasa ada ilmu baru yang dapat dikutip dan apabila kemahiran semakin bertambah, lebih banyak yang dapat anda lakukan atas motosikal.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required