Pihak berkuasa siasat pengedar BYD Thailand selepas dapat aduan turunkan harga dengan mendadak

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Reuters, pihak berkuasa di Thailand kini sedang menjalankan siasatan terhadap pengedar kenderaan BYD di negara itu selepas pengguna membuat aduan berkenaan diskaun keterlaluan yang dikatakan sebagai tidak adil.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat perdana menteri Thailand, siasatan itu dikatakan bermula apabila seorang pelanggan membuat dakwaan seorang wakil jualan memberitahu beliau bahawa harga kenderaan yang dibeli pada waktu kempen diskaun akan kembali naik, tapi kemudian, sebaliknya yang berlaku kerana harga ‘dipotong’ lebih rendah.

“Kami telah memanggil pengedar yang terlibat untuk menjelaskan kenapa mereka memotong lagi harga dan bagaimana mereka mahu mencari penyelesaian dengan pelanggan,” kata pegawai rsami lembaga perlindungan pelanggan Thailand, Passakorn Thapmongkol.

Pihak berkuasa siasat pengedar BYD Thailand selepas dapat aduan turunkan harga dengan mendadak

Beberapa pelanggan lain turut berkongsi rungutan sama dalam media sosial, dengan salah seorang daripadanya, Thanasit Chai berkata, “wakil jualan mulanya berkata harga akan naik selepas pameran, tetapi akhirnya, ia dikurangkan pula,” dengan merujuk kepada Bangkok Motor Show yang berlangsung Mac lalu.

Aduan seperti ini dijangka berterusan selepas pengedar rasmi kenderaan BYD di Thailand, Rever Automotive mengambil keputusan mengurangkan harga Atto 3 sehingga 340,000 baht (sekitar RM44k) bulan ini bagi menyambut ulang tahun kilang pengeluaran baru BYD di negara itu.