Mazda dilaporkan menghentikan jualan untuk kereta sport MX-5 varian yang dijana enjin 2.0 liter di Eropah kerana undang-undang pencemaran udara yang semakin ketat. Jadi pelanggan di benua berkenaan kini hanya ditawarkan dengan MX-5 yang dijana oleh enjin 1.5 liter.
“Mazda akan menghentikan varian dengan enjin 2.0 liter Mazda MX-5 2024 di Eropah, manakala varian dengan enjin 1.5 liter akan terus ditawarkan. Keputusan ini adalah selari dengan komitmen Mazda bagi memberikan kenderaan yang memenuhi keperluan pasaran dan undang-undang emisi dalam masa yang sama mengekalkan keseronokan memandu,” kata pengurus perhubungan awam dan acara Mazda, Markéta Kuklová dalam email kepada Motor1.com.
Walau bagaimanapun, Kuklová menyatakan bahawa pelanggan masih boleh membeli MX-5 dengan enjin 2.0 liter berkenaan selagi ada stok-stok terakhir yang disimpan oleh pengedar. Manakala untuk pasaran UK, MX-5 2.0 liter masih boleh dibeli di negara tersebut kerana ia sudah tidak lagi bersama Kesatuan Eropah (EU) dan tidak tertakluk terhadap undang-undang emisi berkenaan.
Mazda MX-5 dengan enjin 2.0 liter empat-silinder NA SkyActiv-G menghasilkan kuasa 184 PS dan tork maksima 205 Nm. Manakala bagi enjin 1.5 liter empat-silinder NA pula hanya menghasilkan kuasa 135 PS dan tork maksima 150 Nm. Kedua-dua varian enjin ini boleh dipilih untuk dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan, dan kuasa hanya dihantar kepada roda belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.