Bagi meningkatkan keselamatan khususnya membabitkan kanak-kanak, kadar had laju di kawasan sekolah disaran supaya dikuatkuasakan kepada 30 km/j, berbanding 40 km/j pada masa ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu diputuskan menerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Keseksaan Jalan Raya (JKMKKJR), laporan Harian Metro.
Beliau berkata, perkara itu menjadi antara isu yang dibincangkan susulan jumlah kematian purata setiap tahun membabitkan kemalangan maut di kawasan sekolah mencecah 67 orang.
“Apa dicadangkan oleh jawatankuasa adalah menurunkan had laju kepada 30 km/j di kawasan sekolah (daripada 40 km/j ketika ini). Di samping itu pembinaan bonggol juga dicadangkan tanpa membabitkan peruntukan dari mana-mana kementerian tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak sekolah boleh bekerjasama melakukannya,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun lalu, sebanyak 323 kemalangan membabitkan kecederaan atau kematian dicatatkan di kawasan sekolah. Justeru, berdasarkan dapatan kajian antarabangsa sekiranya had laju dikurangkan 1km/j, ia mampu mengurangkan kadar kematian sehingga lima peratus.
“Satu Pasukan Petugas perlu diwujudkan bagi menetapkan jangka masa yang sesuai, mengenalpasti zon mula dan tamat dan mewartakan had kelajuan di kawasan sekolah. Sebagai satu tanggungjawab sosial, saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia mewujudkan kerjasama antara sekolah dan PIBG untuk membina bonggol bagi mengurangkan kelajuan kenderaan supaya pelaksanaan 30 km/j lebih berkesan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.