Kerajaan menganggarkan lebih daripada RM250 juta ketirisan diesel telah dapat elakkan akibat penyeludupan atau salah guna di sepanjang sempadan Semenanjung Malaysia sejak program penyelarasan subsidi dilakukan bermula 10 Jun lalu, lapor Bernama.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang sebelum ini memaklumkan bahawa Malaysia berdepan dengan masalah ketirisan diesel bersubsidi yang serius menyatakan jualan diesel menurun sebanyak 23% atau 6.5 juta liter sehari, sementara jualan diesel komersial meningkat sebanyak 4.8 juta liter sehari.
Beliau menambah, ketika diesel dijual pada harga subsidi RM2.15 seliter, entiti perniagaan mendapatkan diesel dari stesen petrol berbanding membeli diesel komersial yang berharga lebih RM3 seliter. “Kini, dengan harga di stesen petrol ditetapkan RM3.35 seliter, industri telah beralih membeli diesel komersial,” jelas beliau.
“Stesen petrol di sempadan utara tanah air juga telah mengalami penurunan jualan sebanyak 40-50%, sekaligus menjadi petunjuk kepada penurunan aktiviti penyeludupan ke negara jiran kerana margin keuntungan kini berkurangan,” jelas beliau lagi.
Pelaksanaan penyelarasan subsidi bahan api, yang termasuk subsidi bersasar untuk diesel, dijangka akan menjimatkan sebanyak RM4 bilion perbelanjaan negara setahun. Ketika ini, diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia ialah RM3.35 seliter, sementara di Sabah dan Sarawak masih kekal RM2.15 seliter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.