Kia Carnival facelift generasi ke-empat telah pun ditampilkan di khayalak ramai dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini, dengan barisan varian yang dikemaskini termasuk menawarkan pilihan turbo hibrid baharu. MPV yang diberikan suntikan lebih segar ini pertama kali diperkenalkan di negara tersebut pada Mei lalu dengan varian Premiere dan Dynamic, dengan kesemuanya menerima enjin turbodiesel yang sama.
Dengan pelarasan bagi barisan varian ini, Dynamic telah pun digugurkan, manakala Premiere masih dikekalkan. Varian ini terus menggekalkan enjin Smartstream D 2.2 liter empat-silinder sebaris CRDi turbodiesel dengan hamburan kuasa 194 PS dan tork 441 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan yang memacu roda hadapan.
Tambahan baharu ialah Hybrid, dengan menampilkan enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris dengan motor elektrik yang memacu roda hadapan. Kombinasi ini menghasilkan output sehingga 245 PS dan 367 Nm, dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Penjana kuasa turbo ini lebih kurang dengan yang diberikan pada Sorento Hybrid dan dipertontonkan di Singapura pada Januari lalu.
Bagi susunan tempat duduk, Premiere menawarkan tujuh- (bentangan 2+2+3) atau 11-tempat duduk (2+3+3+3) bersama empat barisan berbanding tiga – dengan Hybrid hanya menawarkan tujuh-tempat duduk. Harga rasmi bagi Carnival Hybrid ialah 1.388 bilion rupiah (sekitar RM402k), di mana ia lebih mahal berbanding Dynamic dengan harga 960 juta rupiah (sekitar RM278k), manakala harga Premiere bermula dari 998 juta rupiah (RM289k).
Bagi kelengkapannya, semua varian Carnival facelift didatangkan ciri standard termasuk lampu utama projektor LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, tailgate kuasa pintar, dwi bumbung suria, dwi skrin 12.3-inci (instrumentasi dan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen), sistem bunyi premium Bose 12-pembesar suara, kawalan suhu tiga-zon, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, paparan pandangan sekeliling dan pad pengecas tanpa wayar.
Premiere 7-tempat duduk menerima roda 18-inci, sementara versi 11-tempat duduk juga seperti Hybrid 7-tempat duduk didatangkan dengan unit 19-inci. Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan bagi ketiga-tiga varian adalah larasan kuasa dan didatangkan bersama fungsi pemanas dan pengudaraan. Spesifik untuk Premiere 11-tempat duduk dan Hybrid 7-tempat duduk diberikan tempat duduk relaxation untuk barisan kedua dengan larasan elektrik, sokongan kaki dan pengudaraan.
Sistem bantuan pemandu termaju juga diberikan untuk kesemu varian yang merangkumi kawalan kelajun adaptif, bantuan ikut dan kekal lorong, brek kecemasan autonomous dengan bantuan persimpangan serta pemantauan titik buta dan bantuan mengelak pelanggaran.
Rekaan bagi Carnival juga banyak dipengaruhi Sorento dan EV9 terkini, termasuk lampu utama LED menegak dengan lampu nyalaan siang berbentuk-T yang disambungkan pada seksyen atas gril bersama paten baharu. Sementara itu, lampu belakang pula seperti lampu nyalaan siang hadapan yang diletakkan pada hujung MPV ini dan bersambung dengan tailgate.
Di dalamnya, panel sesentuh baharu disemak semula ditempatkan di bawah skrin infotaimen, lebih kurang sama seperti yang diberikan pada EV6, manakala kawalan media dan suhu pula disepadukan kepada unit tunggal. Selain dari itu, ciri bagi kabin kebanyakannya masih sama seperti sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.